Pembangkang boleh guna dewan orang ramai

Saarani (tengah) bergambar bersama wakil-wakil pengerusi JPKK sempena Kursus Pemantapan Pengerusi JPKK di Dewan Banquet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.
Saarani (tengah) bergambar bersama wakil-wakil pengerusi JPKK sempena Kursus Pemantapan Pengerusi JPKK di Dewan Banquet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak tidak menghalang penggunaan dewan orang ramai untuk parti-parti politik termasuk pembangkang.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagaimanapun penggunaannya perlu mendapat kebenaran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang menguruskan dewan orang ramai tersebut.

Menurutnya, setiap penggunaan juga mungkin akan dikenakan caj pada harga berpatutan bagi tujuan penyelenggaraan dan sebagainya.

"Pengurus sebenar bagi dewan itu adalah JPKK. JPKK dibenarkan untuk membuat peraturan tersendiri bagi kaedah penggunaan tersebut.

"Tapi ada sewaan kepada orang nak buat kenduri dan juga kepada badan-badan lain seperti syarikat perniagaan termasuk parti politik sendiri nak pakai mengikut kadar sewa yang dibenarkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Pemantapan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Dewan Banquet Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Khamis.

Sementara itu mengenai lantikan ketua kampung, Saarani berkata, hampir keseluruhan lantikan telah diselesaikan.

Menurutnya, hanya 11 ketua kampung sahaja yang masih belum dilantik kerana sedang dalam peringkat tapisan melalui polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi lain.

Artikel Berkaitan:

"Calon-calon tersebut hendaklah ditapis terlebih dahulu. Jadi pertama, faktor usia. Usia tidak boleh lebih daripada 65 tahun.

"Seboleh mungkin dia bukanlah orang dalam senarai e-Kasih, ini maknanya orang miskin tegar. Jadi kalau ketua kampung miskin tegar, macam mana dia nak jadi ketua, jadi kita tapis," katanya.

Jelasnya, lantikan baki ketua kampung tersebut akan diselesaikan secepat mungkin.