Minggu Al-Quds Sedunia 2024 dukung pembebasan Palestin

Dr Abdullah menandatangani kehadiran sebelum menyertai sidang akhbar sempena sambutan Minggu Al-Quds Sedunia 2024.
Dr Abdullah menandatangani kehadiran sebelum menyertai sidang akhbar sempena sambutan Minggu Al-Quds Sedunia 2024.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Islam seluruh negara mengadakan sambutan Minggu Al-Quds Sedunia 2024 yang berlangsung pada akhir Rejab iaitu pada 2 hingga 9 Februari ini, bersamaan 21 hingga 28 Rejab 1445 Hijrah.

Pengerusi Aid4Palestine, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, penganjuran program yang memasuki tahun keempat kali itu diadakan serentak bersama beberapa negara bagi meneruskan solidariti bersama perjuangan rakyat Palestin menuntut kebebasan dan mempertahankan tanah air mereka.

Menurutnya, peperangan yang tercetus pada Oktober tahun lalu meninggalkan impak besar terhadap dunia Islam dan antarabangsa.

"Aid4Palestine bersama-sama agensi dan pertubuhan lain merangka beberapa program dan aktiviti yang bertemakan 'Al-Quds Membebaskan Kita'.

"Antara objektif penganjuran Minggu Al-Quds Sedunia ialah menggerakkan media massa untuk mengambil peduli mengenai isu Palestin, menggabungkan peranan pelbagai institusi secara strategik dan bersinergi untuk melaksanakan projek yang praktikal demi mempertahankan kehormatan kota Al-Quds.

Muhammad Khalil (dua dari kanan) bersama Dr Abdullah (dua dari kiri) ketika sidang akhbar sempena sambutan Minggu Al-Quds Sedunia 2024.
Muhammad Khalil (dua dari kanan) bersama Dr Abdullah (dua dari kiri) ketika sidang akhbar sempena sambutan Minggu Al-Quds Sedunia 2024.

"Selain itu, program ini juga mendorong para ulama untuk memimpin masyarakat dalam menyokong, mempertahan dan menghidupkan semula isu ini di pelbagai negara serta mendidik rakyat berkaitan peranan mereka terhadap isu Palestin dan Baitulmaqdis, " katanya pada sidang akhbar di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Penasihat Paestinians Ulama League, Dr Abdullah Abd Almajeed Alzindani.

Artikel Berkaitan:

Menurut Muhammad Khalil, program berkenaan turut menampilkan delegasi ulama dari luar negara antaranya Syeikh Dr Nawaf Takruri, Dr Abdullah Abdul Majeed al-Zindani, Datuk Ahmad Amir Ali, Syeikh Nuruddin La’muri, Syeikh Suat Yassin dan Syeikh Dr. Ridwan Jamal al-Atrash.

Jelas beliau, kehadiran tokoh ulama ini mampu menyuntik semangat pembebasan Masjid al-Aqsa dan Baitulmaqdis ke dalam diri umat Islam di negara ini.

"Sepanjang Minggu al-Quds Sedunia ini juga kami akan melancarkan sebuah NGO iaitu Pertubuhan Pencinta Baitul Maqdis yang akan memberi fokus terhadap isu al-Quds dan Palestin terutama melibatkan suntikan kesedaran terhadap apa yang berlaku di lapangan supaya masyarakat di negara ini terus mendapat maklumat dan tidak hanya menyokong perjuangan rakyat Palestin secara bermusim.

"Justeru, kami mengajak semua pihak di negara ini, tanpa mengira fahaman politik dan aliran agama untuk turut sama dalam usaha membebaskan al-Quds dan mengembalikan kesucian Masjid al-Aqsa ke pangkuan umat Islam," ujarnya.