Mydin dapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records

Ahimmat (empat dari kanan) menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records atas kejayaan edarkan 100,000 kraf naga mini kertas. Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR
Ahimmat (empat dari kanan) menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records atas kejayaan edarkan 100,000 kraf naga mini kertas. Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SUBANG JAYA – Pemborong dan peruncit Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya mengedar dan mencantum 100,000 kraf naga mini sejak 24 Januari lalu.

Kejayaan itu membolehkan rangkaian pasar raya terbesar negara itu menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, beliau menyeru syarikat korporat dan swasta agar mencontohi inisiatif yang dilaksanakan oleh Mydin dalam memupuk sikap perpaduan dan keharmonian masyarakat negara ini.

Menurutnya, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan Mydin Prihatin telah menjalin kerjasama dalam mengenal pasti dan mengagihkan bantuan sumbangan Bakul Rahmah Mydin kepada 500 orang penerima di negeri Selangor, Melaka dan Johor.

Aaron berucap pada Majlis Pelancaran 'Kongsi Meriah' sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2024. Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR
Aaron berucap pada Majlis Pelancaran 'Kongsi Meriah' sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2024. Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR

“Saya berharap agar kerjasama ini akan diteruskan bagi menjayakan dua inisiatif utama KPN iaitu edaran bantuan Bakul Rahmah (RT Cares) dan program Dapur Komuniti di semua negeri pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan kempen 'Kongsi Meriah' yang dianjurkan di MYdin USJ di sini pada Khamis.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perpaduan negara, K Saraswathy; Pengarah Eksekutif Mydin, Ahimmat Mydin dan Ahli Parlimen Subang Jaya, Wong Chen.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut mengenai inisiatif program yang dianjurkan, Ahimmat berkata, buat julung kalinya telah mengambil inisiatif untuk mengadakan kerjasama bersama KPN.

“Sebelum ini juga Mydin sering menyantuni dan berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang berbilang bangsa.

"Sudah tentunya Mydin amat berbangga untuk bersama dengan pihak kerajaan bagi menyokong inisiatif yang dijalankan oleh KPN,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mydin turut menjalin kerjasama dengan rakan eksklusif perkhidmatan BNPL SPayLater serta rakan-rakan strategik yang lain antaranya Abbott, Armor All, Blossom, California Scents, Cutie, Darlie, Diapex, Dutch Lady, Energizer, Eveready, F&N, Intimate, Power Root, Premier dan Royal Gold bagi menawarkan orang ramai dengan pelbagai aktiviti sepanjang Kempen Tahun Baharu Cina “Kongsi Meriah” berlangsung sehingga 24 Februari 2024.

Aaron (tujuh dari kanan) bergambar padaMajlis Pelancaran 'Kongsi Meriah' sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2024. Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR
Aaron (tujuh dari kanan) bergambar padaMajlis Pelancaran 'Kongsi Meriah' sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2024. Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR

“Menariknya kempen ini, 28 pelanggan bertuah yang berbelanja minimum RM118 di dalam satu resit di Mydin, berpeluang memenangi hadiah persembahan tarian singa di rumah mereka.

“Selain itu, pelanggan yang menghasilkan dan memuat naik gambar kreatif dan menarik ketika mencantumkan kraf naga kertas di platform Facebook berpeluang merebut ganjaran e- baucar Mydin bernilai RM8,800,” katanya,

Jelasnya, bagi menambah penjimatan kepada pelanggan di samping menggalakkan pembayaran tanpa tunai, Mydin dengan kerjasama rakan e-dompet Boost, MCash, Setel, SPayLater dan WavPay menawarkan pulangan tunai sehingga RM8 bagi pembelian minimum RM88 dengan menggunakan aplikasi tersebut.