CEO KDA FC, Khamal Idris letak jawatan

Khamal Idris. Foto KDA FC
Khamal Idris. Foto KDA FC
A
A
A

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Kedah Darul Aman (KDA) FC, Khamal Idris Ali meletakkan jawatan yang disandangnya itu sejak empat tahun lalu pada Khamis.

Perkara tersebut diumumkan oleh kelab yang berpangkalan di utara menerusi media sosial rasmi mereka.

Menurut KDA FC, peletakan jawatan bekas pemain Kedah itu adalah untuk memberi tumpuan sepenuhnya pada perniagaan beliau selepas menabur bakti menguruskan kelab berkenaan.

"Peletakan jawatan ini juga diambil atas rasa tanggungjawab untuk membuka peluang kepada yang lebih berkelayakan dan berkemampuan.

"Ini adalah satu kehilangan besar buat arena bola sepak negeri Kedah di mana kita dapat melihat banyak perkembangan serta pembaharuan telah dilaksanakan sejak beliau dilantik pada pertengahan tahun 2020," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kelab itu berkata, pelbagai pembaharuan dan kejayaan dibawa oleh Khamal Idris antaranya membawa pasukan Liga Super Kedah muncul Naib Juara pada tahun 2020, Naib Juara (2021), tangga kelapan (2022), separuh akhir Piala AFC 2022 dan di tangga keempat pada musim 2023.

Beliau juga mengambil inisiatif mewujudkan Pejabat Pengurusan KDA FC di Wisma Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

Menurut KDA FC, Khamal Idris juga mewujudkan Kerjasama strategik bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM Perlis) meliputi bidang kejuruteraan, perubatan, saintis sukan, pemasaran dan bidang psikologi.

Artikel Berkaitan:

"Beliau juga mendapatkan kerjasama bersama penaja-penaja, rakan rasmi dan rakan strategik pada setiap tahun.

"Khamal Idris turut membantu menaik taraf segala kelengkapan pusat latihan, pusat kecergasan dan pemulihan pemain dengan skala besar yang pertama kali diwujudkan di Stadium Sultan Abdul Halim, Jalan Suka Menanti," ujar beliau.

Tambah KDA FC, bekas pemain itu turut merancang dan dalam peringkat rundingan jalinan perniagaan bersama Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dengan mewujudkan 'vending-machine' KDA FC kepada lebih 500 buah sekolah di negeri Kedah.

Jelasnya, Khamal Idris juga bertanggungjawab menubuhkan KDALicious iaitu perniagaan makanan dan minuman untuk penjanaan pendapatan kelab.

Beliau juga menubuhkan KDA Official Merchandise iaitu perniagaan barangan cenderahati kelab secara fizikal dan juga atas talian untuk penjanaan pendapatan kelab.

Dalam pada itu, bagi mengeratkan hubungan antara kelab dan peminat, Khamal memberikan idea agar diwujudkan kad keahlian penyokong KDA FC untuk memastikan para peminat merasakan lebih dekat dengan pasukan di samping mendapat manfaat yang istimewa.

"Beliau juga mewujudkan kerjasama bersama Kota Setar Kids FC (KSKFC) dan SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman (TATAR) bagi mencari bakat-bakat muda di peringkat akar umbi.

"Khamal Idris turut mewujudkan satu-satunya kelab penyokong di bawah naungan KDA FC iaitu Kepak Kenari," katanya lagi.

Jelasnya, bekas CEO KDA FC itu juga bertanggungjawab mewujudkan peluang untuk penggiat e-sukan untuk membawa nama kelab ke kejohanan-kejohanan peringkat e-MFL (Liga Malaysia).

"Beliau mengetuai kerja serta proses pelesenan kelab yang telah memberikan KDA FC lesen untuk bertanding di Liga Malaysia dan juga Piala AFC selama tiga tahun berturut-turut," tambah KDA FC.