Bayar sini RM100, bayar di balai RM300!

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

MERAK Jalanan tidak pernah tahu rupanya ada banyak cara nak bayar saman di negara kita ini.

Kalau bayar dekat balai polis kena RM300 tetapi ‘kalau bayar sekarang’ hanya RM100.

Itu pun Merak Jalanan tahu selepas menonton satu video di YouTube ‘THREAD the globe’ yang tular memaparkan pasangan pelancong dari United Kingdom disaman anggota polis trafik akibat kesalahan memandu laju.

Pasangan pelancong yang menaiki sebuah van itu telah ditahan ketika dalam perjalanan ke Ipoh, Perak.

Dalam video itu, seorang anggota polis trafik memberitahu pasangan berkenaan bahawa van tersebut dipandu 80 kilometer sejam berbanding had laju yang dibenarkan iaitu 60 kilometer pada jam 11.30 pagi.

“Saya akan berikan kamu surat saman dan kamu pergi ke balai polis untuk membayarnya.

"Jika bayar di balai, RM300. Bayar sekarang, RM100,” kata anggota polis trafik terbabit.

Dalam visual tersebut, pasangan itu bersetuju untuk membayar secara tunai dan menyerahkan wang kertas berjumlah RM100 kepada polis berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Anggota polis itu kelihatan mengambil wang tersebut tanpa memberikan sebarang surat saman

Menurut laporan, polis sudah menahan tiga anggotanya yang terlibat dan direman selama tiga hari untuk siasatan.

Merak Jalanan sokong tindakan tegas dan pantas PDRM kerana ia melibatkan imej serta kredibiliti pihak berkuasa di negara ini.

Salah laku dalam kalangan anggota polis terutama dalam isu rasuah bukanlah rahsia sehingga timbul ungkapan ‘polis dan rasuah berpisah tiada’.

Memang tidak adil menghukum PDRM hanya kerana perangai segelintir tetapi kerana seekor kerbau, habis sekandang terpalit lumpur.

Nama baik PDRM perlu dijaga.

Apabila anggota dan pegawai polis bersih, sudah tentu imej PDRM akan dipandang tinggi.