'Larangan boleh halang perpaduan sosial dalam masyarakat'

Kerajaan Negeri Sembilan sebelum ini memutuskan untuk tidak membenarkan pekerja warga asing ditempatkan di mana-mana kawasan berstatus kediaman dan mereka diberikan tempoh sehingga hujung tahun ini. Gambar kecil: Tarmizi
Kerajaan Negeri Sembilan sebelum ini memutuskan untuk tidak membenarkan pekerja warga asing ditempatkan di mana-mana kawasan berstatus kediaman dan mereka diberikan tempoh sehingga hujung tahun ini. Gambar kecil: Tarmizi
A
A
A

SEREMBAN - Dasar kerajaan Negeri Sembilan yang tidak membenarkan pekerja warga asing ditempatkan di kawasan berstatus kediaman boleh membawa kepada pengasingan dan menghalang perpaduan sosial dalam masyarakat.

Anggota sekutu Malaysia di Pusat Pilihan Pengguna(CCH), Tarmizi Anuwar berkata, ia bertentangan dengan prinsip keterangkuman dan kepelbagaian yang menjadikan masyarakat negara ini cergas dan dinamik.

"Kepelbagaian ialah komponen utama masyarakat yang cergas dan berkembang maju, menyumbang kepada permaidani yang kaya dengan budaya, perspektif dan pengalaman.

"Dasar pengecualian boleh mewujudkan perpecahan dan memupuk rasa 'kita lawan mereka' yang boleh mengakibatkan ketegangan sosial," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, dasar itu juga boleh mengakibatkan peningkatan perbelanjaan untuk pekerja asing kerana tinggal di zon komersial yang cenderung lebih mahal.

Tambahnya, beban kewangan yang terpaksa ditanggung mungkin menjejaskan kesejahteraan pekerja asing dan keupayaan mereka untuk menyumbang secara positif kepada ekonomi tempatan.

"Sekatan pekerja asing ke zon komersial mungkin meningkatkan perbelanjaan hidup mereka, mewujudkan tekanan kewangan tambahan yang boleh memberi kesan negatif kepada kualiti hidup mereka secara keseluruhan.

"Dasar itu mungkin turut mempunyai kesan ekonomi terutamanya kepada perniagaan tempatan kerana pekerja migran menyumbang kepada ekonomi tempatan melalui corak penggunaan mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, daripada larangan secara terang-terangan, tumpuan harus diberikan kepada mempromosikan pilihan perumahan yang pelbagai dengan mengambil inspirasi daripada model yang berjaya seperti dilaksanakan di Singapura.

Tarmizi berkata, dengan menggalakkan pembangunan bercampur, ia boleh mewujudkan kawasan kejiranan bertenaga yang menampung keperluan kedua-dua penduduk dan pekerja asing.

"Mencontohi model perumahan berjaya seperti Singapura, yang menggalakkan keterangkuman dan kepelbagaian, boleh membawa kepada pembangunan komuniti bertenaga di mana setiap orang mempunyai tempat untuk dipanggil rumah," katanya.

Sebelum ini media melaporkan kerajaan Negeri Sembilan memutuskan untuk tidak membenarkan pekerja warga asing ditempatkan di mana-mana kawasan berstatus kediaman dan mereka diberikan tempoh sehingga hujung tahun ini.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J Arul Kumar berkata, sehingga tempoh tersebut semua kediaman yang dijadikan sebagai kediaman pekerja asing akan dibuat pemutihan.