Korea Selatan hantar Arab Saudi pulang dari Qatar
KOREA Selatan mengesahkan slot suku akhir Piala Asia Qatar 2023 selepas menewaskan Arab Saudi, menerusi penentuan sepakan penalti 4-2 di Stadium Education City.
Aksi berintensiti tinggi kedua-dua jagoan Asia yang beraksi di pentas Piala Dunia Qatar 2022 sebelum ini, ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 masa tambahan.
Perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti selepas gol minit ke-99 sentuhan Cho Gue-sung memadam jaringan awal Abdullah Radif pada minit ke-46 dalam perlawanan pusingan 16 terbaik tersebut.
Benteng terakhir Korea Selatan yang melepaskan enam gol dalam aksi peringkat Kumpulan E akhirnya ditutup dengan ketangkasan Jo Hyeon-woo yang menyelamatkan sepakan Sami Al-Najei dan Abdulrahman Ghareb.
Keputusan itu menyaksikan angkatan Taeguk Warriors kendalian Jurgen Klinsmann berstatus ranking 23 yang kemarau kejuaraan itu sejak 63 tahun akan berdepan Australia dalam pentas lapan terbaik di Stadium Al Janoub pada Jumaat.
Separuh masa pertama Arab Saudi kendalian Roberto Mancini hampir merobek gawang Korea Selatan sebanyak dua kali hasil sepakan sudut, namun palang menjadi penghalang.
Bintang sensasi kelab Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur, Son Heung-min pula muncul satu-satunya pemain Korea Selatan yang menguji penjaga gol Ahmed Al-Kassar dengan dua percubaan ke gawang The Green Falcons.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!