Malaysia, Belanda berentap final hoki Piala Dunia 5s

Pemain negara meraikan kejayaan mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan Poland. Foto: International Hockey Federation (FIH).
Pemain negara meraikan kejayaan mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan Poland. Foto: International Hockey Federation (FIH).
A
A
A

SKUAD hoki lima sebelah (5s) lelaki negara mencipta sensasi tersendiri selepas melakar sejarah melangkah ke pentas final edisi pertama kejuaraan Piala Dunia 5s 2024, Muscat, Oman pada Rabu.

Kejayaan diraih angkatan Wallace Tan itu diraih selepas menjinakkan pasukan dari Eropah, Poland 4-3 dalam perlawanan separuh akhir.

Empat gol pasukan negara dijelmakan dua jaringan daripada kapten pasukan, Mohamad Akhimullah Anuar Esook (m-22, m-24), satu gol menerusi Muhammad Arif Syafie Ishak (m-7) serta Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin (m-19).

Gol Poland pula dijanakan sentuhan daripada Damian Jarzembowski (m-9), Wojciech Rutkowski (m-27), Jakub Holosyniuk (m-30).

Kemenangan itu membolehkan Malaysia berdepan gergasi hoki Belanda di pentas final awal pagi Khamis.

Akhimullah antara pencetak gol negara dalam perlawanan tersebut. Foto International Hockey Federation (FIH).
Akhimullah antara pencetak gol negara dalam perlawanan tersebut. Foto International Hockey Federation (FIH).

Belanda mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir selepas menewaskan tuan rumah Oman, 5-3 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Sementara itu, Wallace Tan memuji semangat anak-anak buahnya yang bermain bermati-matian demi lencana di dada bagi memastikan Malaysia mara ke pentas perlawanan akhir.

Artikel Berkaitan:

“Perlawanan hari ini, pemain telah memberikan segalanya dan berjuang hingga ke saat akhir dan walaupun Poland meraih kelebihan challenge pada penghujung permainan, tetapi kami berjaya menyelamatkannya dan keluar sebagai pemenang.

“Apa yang telah ditampilkan oleh pemain-pemain hari ini adalah satu semangat juang yang cukup tinggi.

“Pentas akhir bertemu Belanda, mereka merupakan satu pasukan yang cukup kuat dan telah menewaskan semua lawan yang mereka temui termasuk India dan Pakistan.

“Namun untuk Malaysia, kami akan tetap berjuang dan turun bermati-matian mencari kemenangan pada aksi akhir esok,” katanya.