UMNO junjung kasih kepada Al-Sultan Abdullah

Hantaran Facebook Ahmad Zahid pada Selasa.
Hantaran Facebook Ahmad Zahid pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO menjunjung kasih kepada Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah menyempurnakan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Selasa.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, negara dan rakyat sudah pasti terhutang budi dengan sikap hikmah baginda sepanjang bersemayam di Istana Negara.

"Sesungguhnya tempoh lima tahun sebagai raja pemerintah yang penuh dengan liku dan cabaran seperti pandemik Covid-19 dan kemelut politik memperlihatkan kebijaksanaan Tuanku dalam melaksanakan hak Perlembagaan.

"Pastinya tercatat dalam tinta sejarah negara bahawa dalam era pemerintahan Tuanku, Malaysia mampu dikemudi dengan jayanya dan terus dihormati di persada dunia.

"Dirgahayu Tuanku yang akan kembali bersemayam sebagai Sultan dan raja pemerintah Negeri Pahang Darul Makmur," katanya dalam hantaran di Facebook pada Selasa.

Al-Sultan Abdullah menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Selasa selepas memegang tampuk kepimpinan negara selama lima tahun bermula 30 Januari 2019 dan digantikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Istiadat keberangkatan balik Seri Paduka berdua bermula apabila Al-Sultan Abdullah, 64, yang melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari 2019 dan Tunku Azizah berangkat meninggalkan Istana Negara dalam acara ringkas namun penuh istiadat diraja pada jam 8.30 pagi.

Keberangkatan balik Seri Paduka berdua diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selaku menteri pengiring, dan isteri Raja Datin Seri Johanna Adrina Raja Arshad.

Artikel Berkaitan:

Mengenakan ‘Muskat’ iaitu pakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah yang tampil berbaju kurung rona biru berangkat meninggalkan perkarangan Istana Negara dengan menaiki kenderaan khas.

Dalam pada itu, UMNO turut menyembah takzim kepada Sultan Ibrahim yang akan dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Rabu.

"Berbekalkan pengalaman luas baginda Tuanku dalam pemerintahan, semoga Malaysia akan terus gemilang dan maju jaya hendaknya," katanya.