Tanah runtuh Cameron Highlands: Hujan lebat jadi punca

Anggota bomba melakukan pencarian mangsa di lokasi kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands pada Jumaat.
Anggota bomba melakukan pencarian mangsa di lokasi kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mendedahkan punca kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands, Pahang disebabkan hujan berterusan yang bermula jam 3 petang pada 24 Januari lalu.

NRES dalam satu kenyataan berkata, siasatan awal Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) mendapati keadaan itu mengakibatkan jumlah kumulatif hujan harian mencapai 126 militer (mm) pada 25 Januari lalu.

Menurut kenyataan itu, hujan berterusan menyebabkan cerun-cerun semula jadi berkecuraman tinggi yang di dasari batuan granit (lebih daripada 35 darjah) cenderung untuk runtuh.

“Bagi mengelakkan risiko kejadian bencana geologi tanah runtuh, NRES melalui JMG mengesyorkan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya mengambil kira input Projek Penghasilan Peta Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC) dalam perancangan pembangunan dan pengawalseliaan aktiviti kelestarian pertanian di kawasan bercerun.

“NRES akan mengkaji kesesuaian pemasangan sistem amaran awal seperti tolok hujan secara komprehensif terutama di kawasan yang dikenal pasti berkerentanan tinggi tanah runtuh yang dijangka akan disiapkan pada hujung tahun 2024 di tujuh buah kawasan terpilih,” kata kenyataan itu pada Selasa.

Sebelum ini, akhbar melaporkan NRES menunggu laporan lengkap berhubung kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands pada Jumaat lalu yang meragut lima nyawa, sebelum mengambil sebarang tindakan.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihak kementerian memberi perhatian serius berhubung kejadian itu kerana tidak mahu perkara tersebut berulang pada masa hadapan.

Dalam pada itu, NRES turut menjelaskan bahawa pihak JMG dari semasa ke semasa akan memperluas dan mengemas kini peta-peta berkaitan melalui PBRC dalam menyalurkan maklumat berkenaan kawasan potensi bahaya tanah runtuh kepada pihak berkepentingan.

Artikel Berkaitan:

“NRES komited terhadap aktiviti penyelidikan dan penggunaan teknologi tinggi terkini dalam mengenal pasti serta pemantauan kawasan 'hotspot' bencana geologi.

“NRES juga bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi teknikal untuk memperluaskan program pengurusan risiko bencana melibatkan komuniti Community-Based Disaster Risk Management (CBDRM) kepada penduduk kawasan sekitar bagi meningkatkan kesedaran serta kesiapsiagaan terhadap bahaya bencana geologi tanah runtuh,” ujarnya.