Ayuh, kami akan mara dan 'bertempur' - Azmin Ali

Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa pemerintahan kerajaan negeri sedia ada gagal membangunkan Selangor.

Menurutnya, selaku Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, beliau telah mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Pertanyaan-Pertanyaan Mulut dan Bertulis sebagai persiapan untuk Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kedua yang akan bermula pada 27 Februari.

“Ayuh, kami akan mara dan bertempur dengan sang penguasa yang ‘lembab’ dan gagal memacu pertumbuhan serta membangunkan Negeri Selangor.

“Kami senantiasa membuat persiapan awal supaya penyertaan kami dalam perbahasan dan sesi soal jawab lebih efektif dan mantap demi rakyat Selangor,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Isnin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang berkata, menerusi sesi petang mesyuarat berkenaan, kesemua 22 ADUN Perikatan Nasional (PN) bersedia dengan pertanyaan mulut dan bertulis.

Ujar Mohamed Azmin, antara perkara yang diketengahkan ialah perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) semakin merosot, penyelenggaraan jalan bermutu rendah, isu air bersih, dan prestasi kewangan anak syarikat kerajaan negeri lemah.

“Selain itu, ia juga mencakupi isu program kebajikan rakyat tidak menyeluruh, masalah keangkuhan pengurusan (sebuah universiti), prestasi perdagangan dan pelaburan negeri menjunam serta berkenaan pentadbiran kerajaan negeri yang tidak mampu membuat keputusan.

“Kami menjemput rakyat Selangor untuk memberi input tambahan bagi kami membawa dalam sidang dewan yang akan datang.

Artikel Berkaitan:

“Suara rakyat adalah keramat. Saya melihat komitmen ADUN PN cukup tinggi untuk memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat Selangor,” ujarnya.