Tugas berat Liverpool cari pengganti Klopp

Klopp. Foto AFP
Klopp. Foto AFP
A
A
A

VIRGIL van Dijk mengakui Liverpool berdepan tugas berat untuk menggantikan Jurgen Klopp apabila pengendali kelahiran Jerman itu berundur pada penghujung musim.

Van Dijk akur dengan keputusan mengejutkan Klopp untuk meletakkan jawatan setelah kempen musim ini tamat, namun sedar Liverpool mesti melakukannya dengan betul apabila mereka memilih pengganti Klopp.

"Kelab itu akan mempunyai tugas besar di tangan mereka, itu sudah diketahui umum.

“Untuk menggantikan Klopp bukan sahaja pengurus tetapi keseluruhan kakitangan dan terdapat begitu banyak perkara yang akan berubah.

“Saya sangat ingin tahu arah mana yang akan dituju tetapi apabila ia diumumkan, kami akan melihat keadaan kita.

“Ia akan menjadi penghujung era Jurgen Klopp - saya masih sebahagian daripadanya sebab itu saya tidak suka bercakap mengenainya - dan itu adalah fokus utama saya.

“Kami berharap akan mencapai kejayaan yang kami semua impikan dan pada masa itu mungkin akan ada lebih banyak penjelasan mengenai apa yang kelab mahukan untuk masa depan," katanya.

Ditanya sama ada dia melihat dirinya menjadi sebahagian daripada era seterusnya, Van Dijk menambah: “Itu soalan cukup berat. Saya tidak tahu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pemain pertahanan Belanda itu menegaskan tiada apa yang berbeza tentang pendekatan Liverpool ketika pendahulu Liga Perdana itu mengejar trofi dalam empat pertandingan.

“Tiada apa yang benar-benar berubah. Jelas sekali perkara akan berubah pada penghujung musim dan pada musim baharu tetapi pada masa ini tidak dan kami perlu terus melakukan perkara yang sama.

“Ia lebih mudah diucapkan daripada dilakukan tetapi saya rasa pemain lain juga berfikiran seperti itu dan menjadi tugas saya untuk memastikan kami mengekalkannya.

“Kami semua manusia dan kami mempunyai emosi — sesetengah pemain berasa berbeza tentang pengumuman pengurus berbanding yang lain.

“Itu perkara biasa kerana setiap orang berfikir dengan cara yang berbeza tetapi saya tidak perasan profesionalisme itu turun.

“Sesi latihan yang saya lihat dalam beberapa hari kebelakangan ini tidak berbeza berbanding sebelum ini," katanya.