Tempurung kepala retak ditetak pencuri pisang

Syukri menunjukkan kesan parut luka di kepalanya selepas ditetak seorang pencuri pisang dalam kejadian pada Disember tahun lalu.
Syukri menunjukkan kesan parut luka di kepalanya selepas ditetak seorang pencuri pisang dalam kejadian pada Disember tahun lalu.
A
A
A

BESUT - Semangat seorang pekebun untuk meneruskan usaha menanam pisang sebagai sumber rezeki tidak luntur walaupun tempurung kepalanya retak akibat ditetak pencuri dalam kejadian bulan lalu.

Syukri Yusof, 49, berkata, akibat insiden itu, dia menerima lapan jahitan pada bahagian kepala dan dirawat selama tiga hari di Hospital Besut dan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Menurutnya, dia tidak menyangka tindakan melarang dan cuba menangkap seorang lelaki daripada mencuri hasil tanamannya pada 9 Disember lalu dibalas dengan serangan oleh lelaki terbabit.

Syukri menunjukkan hasil tanaman pisang yang dituai dan akan dihantar kepada pemborong.
Syukri menunjukkan hasil tanaman pisang yang dituai dan akan dihantar kepada pemborong.

"Saya dilibas dengan gergaji pemotong kayu oleh lelaki berkenaan. Ketika itu saya cuba menangkap dia selepas menyedari dia sedang menebang pokok pisang di kebun yang terletak di belakang rumah saya.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana hanya cedera dan kini telah pulih. Lelaki tersebut juga telah menerima hukuman setimpal,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, baru-baru ini.

Ujar Syukri, sepanjang lapan tahun mengusahakan tanaman pisang, pelbagai cabaran telah dilalui, namun pengalaman pahit yang ditempuh menjadi pembakar semangat untuk dia terus berusaha bagi meningkatkan hasil tanamannya di atas tanah seluas 4 hektar di Kampung Seberang La, di sini.

"Kebun pisang yang saya usahakan ini pernah musnah selepas dilanda banjir besar pada 2014, setahun selepas itu kebun yang lain pula musnah akibat diserang penyakit.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun sedih dengan apa yang berlaku saya anggap ada hikmah tersembunyi di sebalik ujian itu.

"Saya bersyukur sebab ia tidak mematahkan semangat saya malah saya kini berjaya meluaskan lagi kawasan tanaman dengan tambahan kebun pisang baharu berkeluasan 14.1 hektar. Saya juga dalam proses membuka kebun baharu seluas enam hektar," katanya.

Syukri yang berasal dari Kampung La, Hulu Besut di sini berkata, tanah yang diusahakan itu milik individu lain yang kebanyakan menjalankan tanaman semula kelapa sawit.

Syukri membuktikan semangat dan keazaman yang tinggi mampu membuahkan hasil di mana dia kini mampu mengupah seramai lima orang pekerja.
Syukri membuktikan semangat dan keazaman yang tinggi mampu membuahkan hasil di mana dia kini mampu mengupah seramai lima orang pekerja.

"Pemilik tanah serahkan kebun kepada saya untuk saya usahakan. Sebab itu saya tanam pisang tetapi pada masa sama saya jaga perlu tanam tanaman asal iaitu kelapa sawit yang diusahakan bagi tempoh tertentu.

"Setakat ini saya mengusahakan tanaman pisang jenis nangka dan kapas kerana mendapat permintaan tinggi di pasaran,” ujarnya.

Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, secara purata tanaman pisang itu mengeluarkan hasil kira-kira 5 tan sebulan dengan harga jualan borong sekitar RM1.50 sekilogram bagi pisang kapas dan serendah RM2.50 sekilogram bagi pisang nangka.

"Sambutan terhadap hasil pisang amat menggalakkan malah sebelum ini saya pernah tuai sehingga 10 tan sebulan.

“Alhamdulillah, sejak saya usahakan tanaman ini, kehidupan saya sekeluarga lebih terjamin. Saya juga mampu memiliki sebuah kenderaan pacuan empat roda terpakai dan sebuah kereta," katanya yang mendirikan rumah tangga bersama Mek Zah Deris, 40.

Syukri berkata, sebelum ini dia melakukan pelbagai kerja seperti menoreh getah dan kerja kampung lain sebelum mendapat idea untuk mengusahakan tanaman pisang di atas tanah kosong di hadapan rumahnya seluas 0.4 hektar.

"Bila lihat tanah itu kosong, saya mula terfikir untuk menanam pisang di situ. Jadi bermula 2013 saya mula beri tumpuan terhadap tanaman pisang.

"Ketika itu saya usahakan sendiri tanah ini sebelum ia terus berkembang sehinggalah sekarang saya mampu untuk mengupah lima pekerja terdiri daripada pemuda kampung termasuk anak lelaki saya sendiri, Syaiful Azhar, 20,” katanya.

Selain mengusahakan tanaman pisang, dia juga menternak lembu sebagai pendapatan sampingan.

"Pisang ini saya jual seminggu atau dua minggu sekali kepada pemborong tetap. Dalam masa yang sama saya juga menternak lembu secara kecil-kecilan untuk tampung pendapatan," katanya.