Kedah bukan ada Langkawi sahaja

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SEBELUM ini Pulau Langkawi terkenal sebagai Permata Kedah, Taman Geo pertama di Asia Tenggara dan legenda Mahsuri.

Namun kini, apabila sebut nama Pulau Langkawi yang terlintas di fikiran adalah makanan mahal di pulau legenda itu.

Pada 2021, nama Langkawi menjadi sebutan orang ramai dengan siakap kayangan apabila ada pelanggan terpaksa membayar RM1,196 bagi hidangan seekor ikan siakap dengan berat sekitar tujuh kilogram (kg).

Isu harga makanan tidak munasabah kembali kedengaran pada Disember 2023, apabila tular sekeping resit memaparkan harga air kosong berharga RM5 di sebuah restoran di Jalan Pantai Chenang.

Bagaimanapun, pemilik restoran memohon maaf dan mendakwa ia berlaku disebabkan kecuaian pekerjanya memasukkan kod minuman.

Belum reda isu air kosong RM5, Langkawi sekali lagi menjadi tumpuan apabila seorang pelanggan menularkan caj harga RM20 bagi sepinggan ayam goreng kunyit ketika makan di sebuah gerai di Pantai Cenang.

Walaupun bukanlah orang Langkawi, penulis sebagai anak jati Kedah tetap bimbang isu makanan ‘cekik darah’ memberi tempias kepada semua pihak apabila pelancong takut untuk ke Pulau Langkawi dan juga Kedah.

Malah, isu-isu tular termasuk Langkawi dilabel sebagai ‘pulau hantu’ sebelum ini dikhuatiri memberi kesan kepada kempen Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK 2025).

Artikel Berkaitan:

Janganlah kerana sedikit kisah-kisah negatif, pengunjung tidak sudi datang ke Kedah.

Hakikatnya, Kedah bukan hanya ada Pulau Langkawi semata-mata kerana banyak lagi tempat menarik untuk dikunjungi.

Kedah ada tinggalan sejarah mendahului Kota Putra (400 SM), Rom Kuno (800 SM), Borobudor (800 Masihi), Angkor Wat (1200 Masihi), Majapahit (1300 Masihi), bahkan kerajaan Melaka (1500 Masihi) iaitu Tamadun Sungai Batu.

Tidak ketinggalan, pengunjung berpeluang menikmati pemandangan awan karpet di Bukit Telipong, Felda Batu Lapan di Kubang Pasu tanpa perlu bersusah payah terbang ke Jogjakarta, Indonesia.

Rock Village, Kampung Kura di Sik adalah pilihan terbaik untuk pengunjung ingin mencari kedamaian sambil menyaksikan keindahan panorama di campsite ala-ala Chiang Mai,Thailand.

Bagi mereka yang menggemari aktiviti pendakian, Gunung Bintang yang merupakan puncak tertinggi di Kedah perlu berada dalam senarai gunung yang perlu ditawan.

Sedim di Kulim pula terkenal dengan aktiviti White Water Rafting, selain laluan kanopi Tree Top Walk sepanjang 925 meter (m) yang pernah memegang rekod laluan kanopi terpanjang di dunia untuk beberapa tahun sebelum ini.

Destinasi-destinasi ini antara permata tersembunyi Kedah selain tarikan pelancongan sedia ada seperti Pekan Rabu, Menara Alor Setar, Masjid Zahir, Gunung Jerai dan Pulau Langkawi sendiri yang perlu dilawati sempena TMK 2025.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri memperkenalkan TMK 2025 sebagai usaha menyemarakkan industri pelancongan di Kedah dan sebagai persediaan ke arah penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026.

Beliau berkata, sebanyak RM3 juta diperuntukkan bagi tujuan program dan promosi pelancongan untuk persediaan menyambut pelancong sempena TMK 2025, manakala RM1 juta lagi diperuntukkan untuk projek pembangunan, kerja baik pulih dan naik taraf kemudahan pelancongan.

Sekiranya semua destinasi menarik di Kedah dipromosikan dengan baik, industri pelancongan ini mampu menjana pendapatan lumayan, sekali gus membantu menjana ekonomi untuk negara.

Untuk itu, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk mempromosikan Kedah dan bekerjasama menepis tanggapan yang tidak baik kepada keseluruhan negeri jelapang padi.

*Nurul Hidayah Hamid ialah wartawan Sinar Harian Utara