Pemandu maut treler minyak sawit terbabas, terbalik

Keadaan lori berkenaan selepas kejadian di kilometer 23 Jalan Bahau-Kemayan pada Ahad. - Foto: PDRM
Keadaan lori berkenaan selepas kejadian di kilometer 23 Jalan Bahau-Kemayan pada Ahad. - Foto: PDRM
A
A
A

JEMPOL - Seorang lelaki maut selepas treler muatan minyak sawit yang dipandunya terbabas di kilometer 23 Jalan Bahau-Kemayan pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kemalangan jam lebih kurang 3.30 petang itu dipercayai berlaku semasa pemandu berusia 40 tahun itu dalam perjalanan dari arah Kemayan menuju ke Bahau.

Treler muatan minyak sawit terbalik yang menyebabkan pemandunya maut di lokasi kejadian pada Ahad. - Foto: PDRM
Treler muatan minyak sawit terbalik yang menyebabkan pemandunya maut di lokasi kejadian pada Ahad. - Foto: PDRM

"Setiba di lokasi kejadian iaitu sebelum melepasi selekoh dipercayai pemandu treler terbabit telah hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan masuk ke dalam parit menyebabkan treler itu terbalik.

"Akibat daripada kemalangan tersebut, pemandunya mengalami kecederaan parah dan telah meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Chang Hook berkata, mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Hospital Jempol bagi pengendalian bedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan," katanya.

Dalam pada itu, Chang Hook berkata, orang ramai atau saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol, Inspektor Mohd Amirul Syafiq Mohd Yusof, di talian 016-2348669 bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan: