Dua lelaki cemas sesat hampir empat jam di Bukit Janda Mandi

Pihak bomba menasihatkan kedua-dua lelaki berkenaan supaya lebih berhati-hati dan tidak memasuki kawasan hutan bagi mengelak kejadian tidak diingini. Foto Bomba
Pihak bomba menasihatkan kedua-dua lelaki berkenaan supaya lebih berhati-hati dan tidak memasuki kawasan hutan bagi mengelak kejadian tidak diingini. Foto Bomba
A
A
A

KEMAMAN - Hasrat dua pekerja syarikat minyak dan gas untuk beriadah dengan mendaki Bukit Janda Mandi bertukar mimpi ngeri apabila tersesat hampir empat jam di kawasan hutan berkenaan setelah gagal menemui jalan pulang.

Kedua-dua mangsa yang berasal dari Kuala Lumpur dan Besut berusia 28 dan 29 tahun itu bagaimanapun bernasib baik kerana berjaya menghubungi pasukan penyelamat kira-kira jam 12.35 tengah hari.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai, Mohd Zailani Abdullah berkata, mangsa mula mendaki bukit berkenaan sekitar jam 9 pagi pada Sabtu dan berjaya diselamatkan pasukan penyelamat kira-kira jam 2.15 petang hari yang sama.

"Berdasarkan maklumat diterima mangsa telah tersasar dari laluan asal kerana terdapat pokok tumbang yang menutup trek pendakian.

"Mereka cuba untuk mencari jalan keluar menggunakan laluan yang terdapat saliran air dengan harapan laluan itu dapat menuju ke kawasan Air Terjun Janda Mandi, namun tidak berjaya kerana terdapat jurang yang tinggi.

"Mereka juga cuba berpatah balik malangnya tidak berjaya menemui jalan keluar," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Anggota bomba merakam gambar bersama mangsa sebaik mereka berjaya diselamatkan pada petang Sabtu. Foto Bomba
Anggota bomba merakam gambar bersama mangsa sebaik mereka berjaya diselamatkan pada petang Sabtu. Foto Bomba

Menurut Mohd Zailani, dua lelaki berkenaan bernasib baik kerana lokasi mereka hilang masih mempunyai rangkaian telekomunikasi sekali gus membolehkan mereka menghubungi pasukan penyelamat.

Artikel Berkaitan:

"Sebaik menerima panggilan, sepasukan anggota bomba dan polis bergegas ke lokasi berkenaan.

"Mangsa berjaya ditemui kira-kira jam 2.15 petang dan dibawa keluar dengan selamat ke laluan asal untuk masuk bukit berkenaan kira-kira jam 4.30 petang," katanya.

Mohd Zailani berkata, kejadian itu adalah kali kedua berlaku dalam tempoh sebulan selepas dua individu lain sebelum ini turut tersesat ketika mendaki kawasan berkenaan.

"Kita harap orang ramai tangguhkan sementara aktiviti ini kerana ketika ini cuaca tidak menentu dan kadangkala hujan.

"Laluan di kawasan hutan licin. Kita bimbang berlaku kejadian tidak diingini kerana kawasan hutan selalunya tidak mempunyai liputan telekomunikasi yang menyukarkan lagi untuk mendapatkan bantuan," katanya.