Mengenang Shahnon Ahmad

Shahnon Ahmad, seorang pengarang sastera terkemuka Malaysia yang berjaya mengharumkan sastera kebangsaan menerusi karya kreatif beliau.
Shahnon Ahmad, seorang pengarang sastera terkemuka Malaysia yang berjaya mengharumkan sastera kebangsaan menerusi karya kreatif beliau.
A
A
A

TANGGAL 13 Januari 1933 tarikh keramat kepada dunia sastera Malaysia. Ia detik kelahiran Sasterawan Negara kedua, Datuk Dr Shahnon Ahmad, seorang pengarang sastera terkemuka Malaysia yang berjaya mengharumkan sastera kebangsaan menerusi karya kreatif beliau terutama genre novel dari Rentung ke Revolusi yang ditangguhkan melitupi 43 tahun menukangi sebanyak 30 judul dari tahun 1965 hingga 2008.

Sempena 13 Januari 2024 melewati 91 tahun kelahiran Shahnon, Kampong Banggul Derdap tetap mekar di penjuru hati peminat novel di negara ini, bukan kerana ia telah ‘membesarkan’ Shahnon tetapi merupakan setting utama novel Ranjau Sepanjang Jalan yang popular itu.

Shahnon memiliki daya rasa dan ketajaman akal luar biasa. Sentuhan daya rasa yang tinggi mencetuskan simpati mendalam terhadap kepincangan sosial, kemiskinan dan aturan alam yang menyebabkan Shahnon meluahkan keseluruhan simpatinya dalam Ranjau Sepanjang Jalan namun ia tidak terpengaruh akan kepincangan sosial dalam Keluarga Gerilya karya Pramoedya Aanta Toer novelis Indonesia meskipun Shahnon meminati novel-novel Pram.

Shahnon tidak hanya menulis novel tetapi handal menghasilkan tulisan kritikan sastera, esei malah cerpen, puisi dan drama. Sejak tahun 1956 beliau mula menulis dan tulisannya menyentuh tentang masyarakat baik dari sudut sosiobudaya, pemikiran atau falsafah tentang politik dan sastera Islam.

Kerana berpegang kepada prinsip yang diyakininya, beliau sanggup menukarkan corak kehidupan daripada seorang pengarang sastera kepada wakil rakyat malah pernah hidup bersama-sama masyarakat pendakwah Islamiah, Al-Arqam di samping mengungguli kehidupan akademik di universiti.

Beliau tidak pernah menjadi seorang petani tetapi mampu menghasilkan Ranjau Sepanjang Jalan (1966) yang menggambarkan biografi petani bernama Lahuma dan Jeha malah rela menyertai politik partisan sehingga berjaya menjadi Ahli Parlimen Sik, Kedah sekali gus mencetuskan novel satira politik, Shit (1999).

Malahan Shahnon sanggup meninggalkan kehidupan akademik yang tepu dengan disiplin diri dan minda lalu menjalani kehidupan masyarakat dakwah Islamiah yang longgar disiplin dan tidak mementingkan profesionalisme namun berhasil dengan novel Tok Guru (1988) dan Ummi & Abang Syeikhul (1992).

ASAL USUL

Artikel Berkaitan:

Shahnon lahir di Kampong Banggul Derdap, Sik, Kedah dan meninggal dunia pada 26 Disember 2017. Sebahagian biografinya terakam dalam novel Al-Syiqaq 1 (1995) tetapi sayang sekali karya ini tidak bersambung sekali gus menyekat arus biografi Shahnon.

Namun begitu, Mohd Yusof Hassan melengkapkannya menerusi buku Biografi Sasterawan Negara Shahnon, Anak Nan Bertuah (2021) menurut sudut pandangan orang kedua.

Pada awalnya Shahnon mesra dipanggil ‘Cikgu’. Apabila di universiti, ‘Profesor’ manakala ketika aktif berpolitik langsung melekat gelaran ‘YB’ (Yang Berhormat) apatah lagi menyandang kerusi Parlimen Sik.

Ketiga-tiga gelaran itu dipanggil oleh masyarakat seminat tetapi bagi Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Razak menggelarnya Victor Hugo Malaysia yang menggambarkan kehebatan Shahnon dalam bidang sastera.

Bermula dengan cerpen Bingung (Majalah Guru 1956) Shahnon menjadi propagandis kontemporari mengetengahkan tema kedaifan hidup masyarakat desa untuk mendapatkan pembelaan sehingga beliau pernah dianggap sebagai penggugat dunia kesusasteraan Malaysia.

Daripada arus fikiran dan penghayatannya, Rentong dan Ranjau Sepanjang Jalan lahir yang membuktikan ‘penggugat’ itu telah mensahihkan gelaran yang diberikan oleh Tun Razak.

Justeru itu Shahnon berkata, aliran tema di desa tidak pernah kering walaupun Banggul Derdap sudah maju (Berita Minggu, 1991). Nyatalah Banggul Derdap bukan sekadar tempat kelahirannya, malah mengangkat dirinya sebagai sasterawan yang menjiwai alam dan manusianya.

Selepas 34 tahun merdeka, negara memiliki enam orang Sasterawan Negara. Dunia kesusasteraan kebangsaan berkembang pesat dan Shahnon menjuarai dengan menghasilkan 14 buah novel.

Rentong (1965) berjaya menaikkan namanya tetapi Ranjau Sepanjang Jalan mengukuhkan kedudukannya dalam kesusasteraan tanah air kerana novel ini dijadikan teks sastera Tingkatan Enam manakala Srengenge (1973) dinobatkan novel terbaik oleh Panel Hadiah Karya Sastera 1973.

Antara cerpen terbaik Shahnon ialah Siplis, Babi Hutan, Gelungnya Terpokah, Al, Kalau Ibu Sampai Takah Tiga, Kalbu, Lagu Kit Kit Kit, Riak, Mayat, Keluarga, Kelapa Nan Sebatang dan Perempuan.

Kata Dino SS (Berita Minggu 1990), keistimewaan cerpen Shahnon tersebut bukan sahaja gaya penulisan tersendiri; menggunakan bahasa daerah yang tepat dengan gaya kekampungan dan kata-kata yang sering diulangi bagi menimbulkan kesan, tetapi juga kerana falsafahnya yang jelas iaitu mengembalikan kesedaran terhadap tanggungjawab sebagai seorang Melayu.

Novel Lamunan Puitis: Sebuah Trilogi menggondol Hadiah Sastera Perdana Malaysia (2004), Mahabbah (2007) memenangi hadiah kedua Sayembara Penulisan Novel Kemerdekaan 50 Tahun manakala Shit novelnya paling popular dan dikatakan pernah dicetak rompak sebanyak 300,000 naskhah.

PEMIKIRAN

Salah satu ciri sebagai pengarang besar dan terkemuka ialah memiliki pemikiran atau wisdom untuk dia perjuangkan, justeru seseorang sasterawan itu bukan hanya dianggap pemikir tetapi mampu meluahkan pemikirannya ke pelantar sastera, wadah hakiki kepunyaan seorang sasterawan! Shahnon contohnya. Beliau mengetengahkan tiga arus pemikiran yang bertahap iaitu Melayu, Islam dan politik.

Shahnonlah pengarang pertama memperjuangkan gagasan kekuasaan Melayu dalam sastera iaitu Malay Power yang kemudiannya menjadi korpus perjuangan persatuan penulis yang ditubuhkannya bersama-sama rakan-rakan di utara Semenanjung.

Menerusi sastera, pemikiran dan pandangan pengarangnya boleh disampaikan dengan mudah lagi berseni untuk membangkit dan membangunkan semangat bangsa. Mohd Yusof Hassan dalam biografi Shahnon (2021:133) menyebut Ranjau Sepanjang Jalan berjaya menyampaikan wawasan pengarangnya dengan terperinci.

Novel Perdana (1969) pula mengisahkan perjuangan dan kepimpinan bangsa Melayu dari tahun 1946 hingga saat mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 yang memfokuskan kegelisahan dan konflik jiwa watak-wataknya dalam pergolakan menuntut kemerdekaan manakala novel Menteri (1967) adalah manisfestasi nasionalisme Melayu selepas negara mencapai kemerdekaan.

* M Zaki Arif ialah nama pena Dr Zabidin Haji Ismail. Beliau ialah penulis, penyunting, penerbit dan Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk)