MB Inc Perak jalan siasatan dalaman kes penipuan

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

IPOH - Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) Perak sedang menjalankan siasatan dalaman susulan pendakwaan terhadap dua lelaki yang dituduh melakukan penipuan berkaitan projek perlombongan dan penyamaran sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) badan itu pada Jumaat.

Komunikasi Korporat Strategik MB Inc dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan tegas akan diambil sekiranya ada kakitangannya terlibat dalam isu terbabit.

"Pihak MB Inc memandang serius insiden-insiden ini dan sedang membantu pihak polis melengkapkan siasatan.

"Pada masa sama, siasatan dalaman sedang dijalankan dan sekiranya mana-mana kakitangan didapati terlibat, MB Inc akan mengambil tindakan dalaman yang tegas," katanya pada Sabtu.

Menurut kenyataan itu, orang awam dinasihatkan untuk tidak menggunakan perkhidmatan 'orang tengah' sekiranya mahu berurusan dengan MB Inc.

"Pihak-pihak yang ingin membuat pertanyaan atau menghantar cadangan dinasihati untuk menghubungi MB Inc menerusi medium-medium rasmi.

"Selain itu dinasihati supaya tidak menggunakan 'orang tengah' atau mana-mana pihak yang mendakwa bertindak bagi pihak MB Inc," katanya.

Media melaporkan dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas pertuduhan menipu berkaitan projek perlombongan dan usahasama menggunakan nama MB Inc.

Artikel Berkaitan:

Mereka didakwa atas pertuduhan memperdayakan dua individu hingga mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM650,000 dan RM950,00 tahun lalu.