Dua lelaki didakwa menipu guna nama MB Inc

Heidil Iskandar (kiri) dan Mohd Zulkifli didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menipu berkaitan projek perlombongan dan usahasama menggunakan nama MB Inc) masing-masing pada 2022 dan tahun lalu. Foto Bernama
Heidil Iskandar (kiri) dan Mohd Zulkifli didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menipu berkaitan projek perlombongan dan usahasama menggunakan nama MB Inc) masing-masing pada 2022 dan tahun lalu. Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Dua lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu berkaitan projek perlombongan dan usahasama menggunakan nama Menteri Besar Incorporated Perak (MB Inc).

Heidil Iskandar Mohd Shamlan, 33, dan Mohd Zulkifli Mohd Toha, 45, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Mereka didakwa atas dua pertuduhan menipu Muhammad Razlan Abdullah, 65, dengan memperdayakan beliau untuk mempercayai bahawa mereka dapat memberi satu projek perlombongan unsur nadi bumi (REE) di Hulu Perak menggunakan nama MB Inc kepada beliau.

Mereka dengan curangnya mendorong Muhammad Razlan untuk menyerahkan wang tunai RM300,000 dan RM350,000 yang beliau tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta awam Hotel Casuarina Meru Raya di sini pada 4.30 petang, 10 Oktober 2023 dan di hadapan pejabat MB Inc di sini kira-kira 4.45 petang, 17 November 2023.

Heidil Iskandar turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menipu See Chin Chee, 56, dengan memperdayakan beliau untuk mempercayai dia akan mendapatkan projek usahasama dengan MB Inc bagi mengusahakan tanah berkeluasan 400 hektar di dalam Mukim Pasir Panjang Ulu, Perak Tengah kepada Syarikat Jinsha Mineral Sdn Bhd milik beliau sehingga mangsa menyerahkan wang tunai RM250,000 dan RM100,000.

Heidil Iskandar juga mengaku tidak bersalah atas lima lagi pertuduhan menipu Chin Chee dengan memperdayakan beliau untuk mempercayai dia akan mendapatkan projek usahasama dengan MB Inc kepada Syarikat Agrostone (Malaysia) Sdn Bhd milik Wai Yap Lai, 51, termasuk bagi mengusahakan tanah kuari batu granit berkeluasan 57 hektar di Tanjung Malim.

Beberapa lagi projek usahasama ialah bagi mengusahakan tanah berkeluasan kira-kira 202 hektar dan 267 hektar di Hulu Perak serta mendapatkan tanah untuk disewa di kawasan Mukim Pengkalan Hulu sehingga mendorong beliau menyerahkan wang tunai RM600,000.

Artikel Berkaitan:

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Cawangan Simpang Pulai pada 3 Ogos 2022 hingga 28 Disember tahun sama.

Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Evangelin Simon Silvaraj menawarkan jaminan RM100,000 namun Heidil Iskandar memohon jaminan rendah atas alasan tiada pendapatan dan isterinya tidak bekerja selain menanggung seorang anak orang kurang upaya dan ibu bapa manakala Mohd Zulkifli menanggung tiga anak.

Mahkamah membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan mereka perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai selain mengarahkan kedua-dua tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 13 Mac untuk sebutan semua kes itu bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

Terdahulu, Mohd Zulkifli mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menipu Andy Anak Ungin, 43, dengan berpura-pura sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di bilik mesyuarat kecil, Pejabat MB Inc di Bandar Meru Raya di sini antara 3 petang hingga 4.30 petang, pada 17 November 2023 mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Majistret S. Punitha membenarkan jaminan ke atas Mohd Zulkifli sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Mac untuk sebutan semula kes. - Bernama

TAG: mahkamah, pertuduhan, MB Inc, tipu, projek