Bajet Harimau Malaya ciput berbanding Korea Selatan

Perbandingan dana pasukan dalam Kumpulan E Piala Asia Qatar 2023. Foto FB Hannah Yeoh.
Perbandingan dana pasukan dalam Kumpulan E Piala Asia Qatar 2023. Foto FB Hannah Yeoh.
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh optimis skuad bola sepak negara mampu pergi jauh untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.

Beliau bagaimanapun berkata, perjalanan ke arah kejayaan itu perlu melalui fasa tertentu yang mengambil masa panjang.

"Kita perlu selalu percaya kepada proses. Lambat atau cepat, saya pasti Harimau Malaya akan berjaya suatu hari nanti.

"Saya mahu fokus kerja di hadapan. Majulah sukan untuk negara!," ujar beliau menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Justeru beliau akan mengadakan pertemuan dengan jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk mengetahui pelan strategik buat bola sepak negara.

Malah Hannah turut berlapang dada menerima sebarang pandangan dan kritikan demi kemajuan sukan nombor satu itu.

"Saya akan berjumpa dengan jurulatih, Kim Pan Gon selepas ini dan mendengar rancangan beliau.

"Pandangan pakar akan diterima, termasuk juga pandangan pengkritik yang membina yang sama-sama mahu pasukan kita berjaya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Hannah turut menjelaskan mengenai pemberian dana RM5 juta buat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang dianggap sebagai relevan sebagai pendedahan yang lebih banyak buat pasukan negara bersaing di pentas antarabangsa.

Beliau berkata, bola sepak negara sudah mencapai kemajuan yang baik dan sebagai kerajaan pihaknya akan bantu setakat yang mampu.

"Kenapa bagi banyak dana sehingga RM5 juta kepada sukan bola sepak? Sejujurnya, sebelum masuk KBS (Kementerian Belia dan Sukan) saya pun mempunyai pendapat yang sama bahawa tak perlu bagi banyak dana kepada bola sepak.

"Tetapi sekarang saya sudah memahami. Mari kita bandingkan.

"Kali pertama dalam 43 tahun, Malaysia layak secara merit ke Piala Asia. Ranking Harimau Malaya dalam Kumpulan E paling bawah. Mereka ke sana untuk melakukan yang terbaik.

"Mereka cuba. Lawan Jordan, kalah. Mereka cuba lagi, lawan Bahrain, main dengan baik tapi saat akhir pihak lawan jaringkan satu gol. Lawan Korea mampu seri 3-3. Sekali lagi, bandingkan ranking dalam jadual ini (bajet pasukan lain dalam kumpulan)," katanya.

Malah Hannah mendedahkan turut ditanya oleh para peminat sukan paling popular di Malaysia itu bagaimana kerajaan boleh bantu pasukan Harimau Malaya untuk terus maju lagi.

"Sasaran kita untuk mereka terus layak ke Piala Asia, tapi tanpa dana, bagaimana mereka boleh bersaing? Mari kita bandingkan dana pihak lawan.

"Ya, skuad Harimau Malaya perlukan lebih banyak pendedahan luar negara. Sekali terbang bukan murah. Dana RM5 juta ini hanya mampu membantu kurangkan beban kewangan FAM. Mereka masih perlu cari dana tambahan.

"Kementerian Kewangan sudah letakkan syarat-syarat untuk memantau penggunaan dana ini oleh FAM. Tidak boleh digunakan untuk kos operasi pejabat, bil utiliti dan pembayaran emolumen. Dana ini boleh diaudit bila-bila," katanya.

Menurut Hannah, Malaysia mempunyai 103 jenis sukan dan bukan semua sukan mempunyai peminat yang sama banyak sambil membuat perbandingan menerusi inisiatif skrin besar.

"Sekali buat skrin besar, beribu-ribu rakyat keluar menonton. Ekosistem bola sepak dunia juga berbeza. Piala Dunia dan Piala Asia melibatkan duit berbilion Amerika Syarikat.

"Bola sepak lazimnya dikenali sebagai sukan rakyat. Adalah wajar bagi PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan KBS membuat keputusan dengan menyalurkan dana tambahan kepada FAM.

"Ia Setelah Harimau Malaya berjaya mengeluarkan taring di Piala Asia dan rata-rata penyokong bola sepak negara sangat menghargai usaha yang telah dilakukan oleh Harimau Malaya," katanya.