Harimau Malaya Qatar 2023 team bajet RM7 juta

Sebahagian pemain Harimau Malaya di Qatar 2023. Foto FB FAM
Sebahagian pemain Harimau Malaya di Qatar 2023. Foto FB FAM
A
A
A

SEBANYAK RM7 juta bajet diperuntukkan kepada pasukan bola sepak negara dalam merancakkan kempen Piala Asia 2023 di Qatar kali ini.

Malah, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, jumlah itu lebih kecil berbanding perbelanjaan pasukan lain dalam Kumpulan E seperti Bahrain, Korea Selatan dan Jordan untuk bersaing di pentas bola sepak tertinggi Asia itu.

Katanya, Korea Selatan membelanjakan sebanyak RM94 juta, Jordan (RM23.5 juta) dan Bahrain (RM28.2 juta) bagi menghadapi kejohanan itu berbanding Malaysia.

Jelasnya, peruntukan RM5 juta yang bakal disalurkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat, diperlukan badan induk itu bagi merancakkan pembangunan pasukan bola sepak negara terutamanya Harimau Malaya.

"Jumlah RM5 juta ini hanya sebahagian sahaja daripada dana yang diperlukan FAM, ramai yang berpendapat durian runtuh untuk FAM, sebenarnya FAM perlukan lagi banyak dana.

"Kalau kita mahu Harimau Malaya berpeluang menang pada Piala Asia, kita perlu pastikan mereka mempunyai sumber untuk berlatih dan mempunyai pendedahan seperti pasukan lain.

"Saya harap semua faham, walaupun dana ini tidak begitu banyak tetapi ia sangat penting buat Harimau Malaya," katanya kepada pemberita ketika hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menyambut ketibaan pasukan Harimau Malaya dari Qatar pada Jumaat.

Sebagai rekod, Harimau Malaya mengakhiri kempen Piala Asia 2023 dengan mencipta sensasi mengikat gergasi bola sepak Asia, Korea Selatan, 3-3, pada perlawanan terakhir Kumpulan E di Stadium Al Janoub, Doha, pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Biarpun begitu, skuad kendalian Kim Pan-gon bermula langkah kiri apabila tewas kepada Jordan (0-4) diikuti Bahrain (0-1), sekali gus meleburkan harapan ke pusingan 16 terbaik yang menyaksikan kedudukan tercorot kumpulan dengan satu mata.

Anwar, sebelum itu mengumumkan kerajaan bersetuju menyalurkan peruntukan RM5 juta kepada FAM bagi mengurus serta meningkatkan keupayaan skuad bola sepak negara.

Menurut Anwar, peruntukan itu disalurkan dengan mengambil kira semangat juang tinggi anak buah Pan-gon pada saingan Piala Asia tersebut.

Info:

Perbandingan Bajet Pasukan Qatar 2023

Kumpulan E

Kedudukan Pasukan

Bahrain (RM28.2 juta) Ranking FIFA 86 (enam mata)

Korea Selatan (RM94 juta) Ranking FIFA 23 (lima mata)

Jordan (RM23.5 juta) Ranking FIFA 87 (empat mata)

Malaysia (RM7 juta) Ranking FIFA 130 (satu mata)