Jualan Gudang Karangkraf tawar buku percuma kepada 200 sekolah


Jualan Gudang Karangkraf 2024 menawarkan sumbangan buku bernilai RM1,000 kepada 200 sekolah terawal. (Gambar kecil: Nurul Shahirah)
Jualan Gudang Karangkraf 2024 menawarkan sumbangan buku bernilai RM1,000 kepada 200 sekolah terawal. (Gambar kecil: Nurul Shahirah)
A
A
A

SHAH ALAM - Jualan Gudang Karangkraf 2024 menawarkan sumbangan buku bernilai RM1,000 kepada 200 sekolah terawal bermula 25 Januari hingga 4 Februari di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini.

Eksekutif Pemasaran Grup Buku Karangkraf, Nurul Shahirah Jasman berkata, pemberian buku percuma itu terhad kepada sekolah di sekitar Selangor sahaja.

“Pihak sekolah yang mahu merebut peluang ini boleh mengisi borang secara dalam talian di pautan ‘Google Form’ yang dihantar oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) menerusi e-mel.

Nurul Shahirah Jasman
Nurul Shahirah Jasman

“Buku itu boleh ditebus dengan hanya menunjukkan borang yang sudah diisi di meja pendaftaran dan pihak kita akan serahkan secara terus kepada mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Jualan Gudang Karangkraf 2024 berlangsung selama 10 hari di Kompleks Kumpulan Karangkraf kali ini mengangkat tema #RoadToRamadan dengan membuat jualan al-Quran terbesar yang pernah dianjurkan.

Pengunjung juga berpeluang menerima potongan diskaun bagi tajuk buku terpilih dan cabutan bertuah yang bernilai sehingga RM1,500.

Artikel Berkaitan:

Para pelajar Sekolah Kebangsaan Seksyen 24, Shah Alam tidak melepaskan peluang mengunjungi Jualan Gudang Karangkraf 2024.
Para pelajar Sekolah Kebangsaan Seksyen 24, Shah Alam tidak melepaskan peluang mengunjungi Jualan Gudang Karangkraf 2024.

Tambah Shahirah, masih terdapat banyak kuota untuk penerima sumbangan kerana sehingga kini 20 sekolah sahaja yang sudah mendaftar.

“Sekarang baru dua sekolah datang mengambil sumbangan tersebut dan masih ada kekosongan. Ini merupakan peluang kepada mereka yang lain untuk tidak melepaskan tawaran tersebut.

“Guru boleh datang bersama pelajar kerana kita juga menawarkan harga dan hadiah istimewa kepada murid yang hadir,” ujarnya.