Pekerja balak dikhuatiri lemas di Sungai Lembing

Seorang pekerja balak warga Indonesia dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus di Sungai Mas, Sungai Lembing di sini pada Jumaat. Gambar hiasan (Gambar kecil: Wan Zahari)
Seorang pekerja balak warga Indonesia dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus di Sungai Mas, Sungai Lembing di sini pada Jumaat. Gambar hiasan (Gambar kecil: Wan Zahari)
A
A
A

KUANTAN - Seorang pekerja balak warga Indonesia dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus di Sungai Mas, Sungai Lembing di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa dikenali sebagai Suprianto, 43, dilaporkan dihanyutkan ketika cuba berenang menyeberangi sungai itu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, berdasarkan keterangan saksi, mangsa bersama seorang lagi lelaki dilihat berada di seberang sungai.

Menurutnya, mangsa dikatakan turun dan cuba berenang menyeberangi sungai.

"Siasatan mendapati, kejadian berlaku ketika air sungai melimpah dan berarus deras ekoran hujan lebat beberapa hari lalu.

"Ketika hampir sampai ke tebing, mangsa dilihat terkapai-kapai hanyut sebelum tenggelam," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, saksi yang kebetulan sedang memancing tidak dapat membantu mangsa kerana arus terlalu deras.

"Ekoran kejadian, sepasukan anggota dari Balai Sungai Lembing ke lokasi bagi mengesahkan maklumat dan melakukan siasatan awal.

Artikel Berkaitan:

"Maklumat itu didapati benar sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan," katanya.

Bagaimanapun menurutnya, operasi SAR di sungai tidak dapat dilakukan ekoran arus telalu deras dan berbahaya.

"Pencarian dilakukan di kawasan tebing dengan bantuan penduduk kampung sebelum ditamatkan kerana cuaca gelap.

"SAR akan di sambung semua pada Sabtu menggunakan aset-aset sesuai," jelasnya.