Tiga kematian baharu akibat rabies di Sarawak

Sarawak mencatatkan tiga lagi kes kematian baharu akibat wabak rabies dengan dua daripadanya berlaku di Kuching dan satu di Bintulu.
Sarawak mencatatkan tiga lagi kes kematian baharu akibat wabak rabies dengan dua daripadanya berlaku di Kuching dan satu di Bintulu.
A
A
A

KUCHING - Sarawak mencatatkan tiga lagi kes kematian baharu akibat wabak rabies dalam kalangan manusia tahun ini dengan dua daripadanya berlaku di Kuching dan satu di Bintulu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Ooi Choo Huck dalam kenyataan hari ini memaklumkan, ketiga-tiga mangsa meninggal dunia antara 9 hingga 20 Januari lepas, dengan lingkungan umur mangsa 39 hingga 61 tahun.

"Dengan pertambahan kes baru ini, kumulatif kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak yang dilaporkan semenjak wabak diisytiharkan pada Julai 2017 sehingga kini adalah sebanyak 78 kes dengan 71 kematian,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pesakit pertama merupakan wanita berusia 39 tahun yang mempunyai sejarah digigit anjing liar di kawasan perumahannya pada Disember 2023, manakala pesakit kedua merupakan lelaki warga emas berusia 61 tahun serta mempunyai sejarah dicakar anjing dan kucing peliharaan tahun lepas.

"Pesakit ketiga merupakan seorang lelaki berumur 42 tahun yang tinggal di daerah Kuching serta pernah digigit dan dicakar di bahagian siku kanan oleh kucing peliharaannya pada Oktober 2023,” katanya menambah mangsa melihara kira-kira 10 ekor kucing yang bebas bercampur dengan haiwan liar.

Dr Ooi berkata, kesemua mangsa tidak pernah mendapatkan rawatan atau menerima vaksinasi antirabies di mana-mana fasiliti kesihatan.

Katanya, daripada 78 kes dilaporkan setakat ini, 38 kes disebabkan oleh anjing peliharaan yang bebas bercampur dengan haiwan liar, 20 kes disebabkan anjing liar, lima kes disebabkan kucing peliharaan yang bebas bercampur dengan haiwan liar, satu kes disebabkan oleh kucing liar, manakala 14 kes lagi tidak dapat dikenal pasti.

"Sejak 2017 sehingga minggu epid ke 3 tahun 2024, terdapat 52,969 kes gigitan anjing, 43,345 kes gigitan kucing dan 1,490 gigitan lain-lain haiwan telah dilaporkan.

Artikel Berkaitan:

"Secara puratanya terdapat 381 kes gigitan haiwan dilaporkan setiap minggu di Sarawak sejak minggu epid 1 tahun 2024 (31 Disember 2023 sehingga 6 Januari 2024) sehingga minggu epid 3 tahun 2024 (14 Januari sehingga 20 Januari 2024),” katanya.

Dr Ooi turut mengingatkan orang awam untuk mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya digigit atau dicakar oleh anjing atau kucing. - Bernama