Wan Junaidi dilantik Yang Dipertua Negeri Sarawak baharu

 Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan Surat cara Pelantikan Yang Dipertua Negeri Sarawak kepada bekas Wan Junaidi pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Dipertua Negeri Sarawak di Balairung Kecil, Istana Negara di sini hari ini. - Foto: Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan Surat cara Pelantikan Yang Dipertua Negeri Sarawak kepada bekas Wan Junaidi pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Dipertua Negeri Sarawak di Balairung Kecil, Istana Negara di sini hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak kelapan berkuat kuasa hari ini.

Beliau menerima surat cara pelantikan itu daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Dipertua Negeri Sarawak di Balairung Kecil, Istana Negara di sini hari ini.

Turut berangkat ke istiadat itu Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Wan Junaidi, 77, dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak, mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sarawak bagi tempoh empat tahun bermula 26 Januari 2024 hingga 26 Januari 2028.

Pelantikan Wan Junaidi adalah bagi menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud yang menyandang jawatan itu selama tiga penggal bermula 1 Mac 2014.

Pada istiadat sama, Wan Junaidi turut dikurniakan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun.

Istiadat pengurniaan turut disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri serta Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni.

Artikel Berkaitan:

Wan Junaidi dilahirkan di Kampung Pendam (kini Sadong Jaya), Sarawak pada 1 Februari 1946. Beliau menyertai Polis Diraja Malaysia pada 1964 sebelum berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan dari 1968 hingga 1973, dan dalam tempoh itu beliau juga pernah bertugas di Kawasan Keselamatan Rajang (Rascom).

Beliau mula berkecimpung dalam arena politik pada 1990 selepas memenangi kerusi Parlimen Batang Lupar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) kelapan yang dipertahankannya untuk dua penggal seterusnya, sebelum berpindah ke Parlimen Santubong pada PRU ke-11 pada 2004 yang berjaya dipertahankannya untuk empat penggal berturut-turut sehingga 2022.

Di peringkat Persekutuan, anak jati Sarawak itu pernah menyandang beberapa jawatan menteri antaranya Timbalan Menteri Dalam Negeri dari 2013 hingga 2015, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (2015 hingga 2018) dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (2020 hingga 2021) selain Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) (2021 hingga 2022)

Beliau juga pernah dilantik Timbalan Speaker Dewan Rakyat dari 2008 hingga 2013 dan Yang Dipertua Dewan Negara pada 2023. - Bernama