Agong perkenan pelantikan TYT Sarawak baharu - PM

Anwar ketika hadir perasmian Wacana Pemikir Global 2024 “The Next 100 years: Vision 2100 for Malaysia” di Universiti Malaya pada Isnin. FOTO SINAR HARIAN - MOHD HALIM ABDUL WAHID
Anwar ketika hadir perasmian Wacana Pemikir Global 2024 “The Next 100 years: Vision 2100 for Malaysia” di Universiti Malaya pada Isnin. FOTO SINAR HARIAN - MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan pelantikan Yang di-Pertua Negeri (TYT) Sarawak baharu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengganti Tun Abdul Taib Mahmud sebagai TYT Sarawak yang kelapan itu akan diumumkan dalam waktu terdekat.

"Proses pelantikan TYT (Sarawak) kita tahu atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong, dikemukakan oleh Premier (Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri) Abang Johari (Tun Openg).

"Saya telah telah kemukakan calon nama itu kepada Agong dan telah diperkenan dan akan diumumkan mungkin dalam satu ke dua hari.

"Tentang Yang Dipertua Dewan Negara, kita akan adakan mesyuarat sekretariat Kerajaan Perpaduan malam ini untuk bincang supaya dapat disegerakan perlantikannya," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Wacana Pemikir Global 2024 bertemakan 'The Next 100 years: Vision 2100 for Malaysia', di Universiti Malaya (UM), di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita susulan laporan peletakan jawatan Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai Speaker Dewan Negara dan sedang bersiap sedia untuk menjawat jawatan TYT Sarawak.

Pada Ahad, Abang Johari dilapor enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut kerana kuasa mutlak dan pelantikan dalam perkara berkenaan adalah di bawah Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum ini Wan Junaidi dilapor telah meletak jawatan, dan pegawai medianya berkata, bekas menteri undang-undang itu mungkin mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara itu.

Artikel Berkaitan: