Keputusan seri tak dapat padam kekecewaan kami - Faisal Halim

Faisal Halim meraikan jaringan gol pada perlawanan Korea Selatan menentang Malaysia bagi peringkat Kumpulan E sempena Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub malam tadi - Foto: Bernama
Faisal Halim meraikan jaringan gol pada perlawanan Korea Selatan menentang Malaysia bagi peringkat Kumpulan E sempena Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub malam tadi - Foto: Bernama
A
A
A

PEMAIN sayap sensasi skuad Harimau Malaya, Mohamad Faisal Abdul Halim berkata kekecewaan gagal layak ke pusingan 16 terbaik saingan Piala Asia tidak terubat dengan kejayaan mengikat Korea Selatan 3-3 malam tadi.

Mohamad Faisal atau lebih dikenali Faisal Halim berkata, walaupun pasukan gembira dengan keputusan berdepan juara dua kali itu di sebalik jurang besar dalam ranking dunia, namun mereka masih tidak dapat menerima dua kekalahan terdahulu.

"Kami tahu tak layak ke pusingan seterusnya, walaupun gembira dengan keputusan malam ini tetapi pemain-pemain tetap tak menerima kekalahan dalam dua aksi sebelum ini.

"Kami akan cuba bangkit untuk pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026 (dan) sekurang-kurangnya dapat belajar daripada keputusan ini,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan menentang Korea Selatan pada aksi terakhir Kumpulan E di Stadium Al Janoub di sini.

Mengulas mengenai perlawanan itu, beliau yang menjaringkan gol pertama Malaysia berkata, pasukan menyedari betapa sukar untuk mencuri mata.

Bagaimanapun, katanya pendekatan diterapkan ketua jurulatih Kim Pan Gon dan kerja keras para pemain sehingga penghujung permainan merupakan elemen terpenting dalam kejayaan menghalang Korea Selatan daripada kemenangan.

"Kami memberikan segalanya, berlari mengejar bola tidak berhenti tetapi memang sukar lawan Korea Selatan, kita tutup ruang di sini mereka main di sebelah sana. Keletihan memang tak dapat digambarkan,” kata pemain Selangor FC berusia 26 tahun itu.

Pada aksi malam tadi, pemain tengah Jeong Woo-yeong membuka tirai jaringan di separuh masa pertama sebelum Malaysia bangkit mendahului perlawanan selepas 17 minit separuh masa kedua bersambung menerusi gol Mohamad Faisal dan penalti Arif Aiman Mohd Hanapi.

Artikel Berkaitan:

Namun, Korea Selatan menyamakan kedudukan ketika berbaki 10 minit masa permainan sebenar hasil gol sendiri penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed sebelum mendahului 3-2 menerusi penalti pemain bintang Tottenham Hotspur Son Heung-min pada masa tambahan.

Pemain gantian yang juga pemain naturalisasi Romel Morales muncul wira apabila menyumbat gol ketiga pasukan negara pada masa tambahan yang memasuki 15 minit untuk menghadiahkan satu mata kepada Malaysia pada kempen kali ini.

Hasrat Malaysia untuk mencipta sejarah layak ke pusingan 16 terbaik tidak kesampaian selepas tewas dalam dua aksi pertama Kumpulan E masing-masing tumpas 0-4 di tangan Jordan dan 0-1 kepada Bahrain sekali gus menduduki tempat terakhir dengan mengumpul satu mata. - Bernama