Akta Anti Lompat Parti diwujud supaya 'katak' tak boleh melompat - Azalina

Azalina ketika berucap pada majlis pelancaran Van Justice On Wheels (Jabatan Bantuan Guaman) di Dewan Gawir, Kampung Madsiang, Penampang.
Azalina ketika berucap pada majlis pelancaran Van Justice On Wheels (Jabatan Bantuan Guaman) di Dewan Gawir, Kampung Madsiang, Penampang.
A
A
A

PENAMPANG - Kerajaan yang ditubuhkan harus stabil supaya ahli Parlimen yang dilantik boleh melakukan tugas mereka untuk dimanfaatkan kepada rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kestabilan tidak diperoleh selagi wujudnya 'katak yang melompat'.

"Di bawah Kerajaan Perpaduan dan arahan Perdana Menteri kita mesti tunaikan janji kepada rakyat. Jadi sudah setahun daripada 2023, kita mentadbir dan mewujudkan dasar baharu dan tahun 2024 ialah implementasi dasar-dasar baharu.

"Jadi penekanan di sini, kerajaan mestilah stabil, kalau kerajaan tak stabil bagaimana Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick dan saya boleh buat kerja untuk diberikan manfaat kepada rakyat.

"Itu sebabnya Akta Anti Lompat Parti diwujudkan pada sesi Parlimen yang lepas supaya katak-katak tidak boleh melompat dalam Parlimen, Senator lompat tidak apa, tapi ahli Parlimen katak lompat susah, kerana perkara-perkara ini dalam Perlembagaan Persekutuan yang kita wujudkan dulu pada tahun selepas merdeka 1957, 1963 kita dikolonikan oleh kerajaan British," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Van Justice On Wheels (Jabatan Bantuan Guaman) di Dewan Gawir, Kampung Madsiang, di sini pada Khamis.

Tambah Azalina, Malaysia mengikut sifat undang-undang sejak zaman penjajahan British namun secara bertulis dan sebab itu wujudnya Akta Anti Lompat Parti.

"Akta Anti Lompat parti adalah satu sejarah semua ahli Parlimen pada sesi lepas bersetuju kerusi yang dimenangi seperti Datuk Ewon sebagai Ahli Parlimen Penampang, kerusi dimenangi saya Ahli Parlimen Penerang adalah kerusi rakyat bukan kerusi kami, tuan-tuan, puan-puanlah punya kerusi.

Artikel Berkaitan:

"Mana boleh kami lompat-lompat katak lompat satu ekor saja, tetapi kerusinya ramai. Saya di Pengerang 50,000 pengundi, Ewon kata tadi 60,000 ke 70,000 pengundi (Penampang). Tiap-tiap hari bertambah kerana Undi 18," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mengajak semua pemimpin terutama ahli Parlimen supaya wujudkan hubungan perpaduan demi kestabilan politik dan rakyat.

"Saya mengambil kesempatan menerusi ucapan Datuk Ewin bersama ucapan saya, kami dulu bermusuh hari ini bersahabat, bercinta. Dulu dia di sebelah saya satu tahun (kedudukan Parlimen), tahun ini tukar tempat dia di sana saya di sini.

"Tetapi kita bersama bercinta kerana arahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Agong. Kerana rakyat mahukan kestabilan, kita wujudkan kerajaan hari ini supaya yang mendapat keuntungan adalah rakyat itu sendiri," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!