P-hailing sebagai kerjaya tetap atau sambilan?

Pakar berpendapat kerjaya sebagai penunggang p-hailing hanya sesuai dijadikan sebagai kerja sampingan atau untuk tempoh jangka masa pendek dan bukannya sebagai pekerjaan tetap.
Pakar berpendapat kerjaya sebagai penunggang p-hailing hanya sesuai dijadikan sebagai kerja sampingan atau untuk tempoh jangka masa pendek dan bukannya sebagai pekerjaan tetap.
A
A
A

BARU-BARU ini syarikat penyedia perkhidmatan p-hailing, GrabFood Malaysia (GrabFood) mengumumkan perubahan kadar bayaran bagi penghantar makanan sehingga menimbulkan keresahan yang menyebabkan pendapatan mereka merosot.

Bagaimanapun, Grab Malaysia telah tampil menjelaskan bahawa struktur tambang penghantaran dan bonus baharu diperkenalkan mereka bertujuan memastikan rakan kongsi penghantar yang menjalankan perkhidmatan di syarikat berkenaan akan dibayar secara adil.

Dalam pada itu, perkara demikian mendapat reaksi pelbagai pihak termasuklah Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Abdul Rahim Zumrah yang berpendapat kerjaya sebagai penunggang p-hailing hanya sesuai dijadikan sebagai kerja sampingan atau untuk tempoh jangka masa pendek dan bukannya sebagai pekerjaan tetap.

Mengulas lanjut perkara itu, katanya, ia berisiko tinggi khususnya dari segi keselamatan pekerjaan untuk jangka masa panjang.

Menurutnya, tiga cabaran utama pekerja penghantar makanan ialah ketiadaan kemudahan seperti perubatan, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), kelestarian pekerjaan serta kesukaran untuk membuat komitmen yang lebih tinggi seperti pinjaman bank dan membeli rumah.

Ada yang bersetuju pekerjaan itu boleh dilakukan secara tetap malah ada yang tidak bersetuju.

*SETUJU*

Bekerja sebagai penghantar makanan kerana hilang pekerjaan

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, ada antara individu yang berada dalam kumpulan M40 tetapi kini terpaksa bekerja sebagai penghantar makanan disebabkan kehilangan pekerjaan.

Saya melihat mereka yang berada dalam bidang ini bukan untuk menambah pendapatan sebaliknya memilih untuk menjadikan kerja tetap demi kelangsungan hidup.

Kita perlu tahu bahawa masih ramai lagi yang kais pagi, makan pagi dan kais petang makan petang, moga tuhan permudahkan urusan mereka.

Selain itu, ada antara mereka yang sedang menunggu untuk mendapatkan kerja yang lebih baik namun mungkin belum ada rezeki jadi sekurang-kurangnya kerja penghantar makanan menjadi sumber pendapatan.

DANIEL
DANIEL

Pekerjaan ini juga dilihat mempunyai sisi baiknya, ia memainkan peranan penting dalam penghantaran makanan yang ditempah oleh pelanggan dan sampai dalam masa yang ditetapkan.

Bukankah memudahkan urusan orang lain itu amalan yang bagus? Ia sangat membantu terutamanya dalam kesempitan masa untuk keluar membeli makanan.

- Penulis Buku, 21, Daniel Shankar

---------------------------------------------------------------------------------------------------------

Saya melihat mereka yang berusia lewat 40-an hingga 50-an terpaksa menjadikan p-hailing sebagai kerja tetap kerana kebanyakan syarikat tidak mengambil pekerja berusia.

Namun mereka tidak hanya berharap bantuan untuk meneruskan hidup, suka atau tidak, apa pun alasan tetaplah bekerja walau hanya sebagai penghantar makanan.

Ya, kadang-kadang tidak berbaloi tapi apa lagi yang boleh mereka buat? Hidup perlu diteruskan, komitmen bayaran bulanan perlu dilangsaikan seperti rumah, kereta, bil dan makan minum harian.

Saya juga berpendapat, orang muda lebih memilih untuk menjadikan p-hailing sebagai kerjaya sepenuh masa kerana waktu kerjanya yang lebih fleksibel.

NOOR AZLI
NOOR AZLI

Kita yang mengaturkan jadual kerja sendiri, jika itu punca pendapatan utama, mahu atau tidak, mereka pasti wajib untuk bekerja walaupun dalam keadaan tidak sihat sekalipun.

Jika mereka tidak bekerja pada hari tersebut bermakna tiadalah upah, memang perlu betul-betul rajin dan secara langsung akan membuatkan mereka merasa bertanggungjawab untuk berusaha mencari wang.

Ramai kenalan saya menjadikan kerja tersebut sebagai kerjaya sepenuh masa, jika betul-betul fokus dan berusaha, pasti ada ganjarannya.

- Penasihat jualan, 40, Noor Azli Khamis

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------

*TIDAK SETUJU*

Rancang kerjaya lebih meyakinkan

Kerjaya penghantar makanan ini sebenarnya ibarat landasan 'transit' untuk menimba pengalaman, mengisi masa lapang dan memperoleh pendapatan sampingan.

Namun, pada pendapat saya, lebih baik mereka merancang kerjaya masa hadapan yang lebih menyakinkan.

Ramai yang berjaya dalam pekerjaan tetap dan membuat kerja penghantar makanan ini sebagai kerja sampingan, itu merupakan satu langkah yang baik serta sangat membantu pendapatan bulanan.

SUMARDI
SUMARDI

Jika kita bekerja, sekurang-kurangnya mempunyai gaji pada setiap bulan, waktu hujung minggu jika ingin 'pulun' sebagai penghantar makanan atau apa-apapun buatlah, dapatlah pendapatan lebih.

Zaman ekonomi begini berusaha sekerasnya mendapatkan kerjaya yang ada sekurang-kurangnya KWSP dan Perkeso, sedikit sebanyak boleh membantu pada kemudian hari.

Justeru, jadikan kerja penghantar makanan itu sebagai sumber pendapatan sambilan semasa cuti hujung minggu, lepas kerja atau cuti umum sahaja.

- Pemandu kren, 36, Sumardi Beta

---------------------------------------------------------------------------------------------

Saya tidak bersetuju penghantar makanan menjadi kerjaya tetap kerana ia dilihat mendapat gaji melalui komisen serta kerjanya yang tidak tentu masa, namun jika sekadar untuk separuh masa di samping ada pekerjaan hakiki itu boleh diterima.

Kerja berkenaan dilihat tiada jaminan kebajikan, semua sistem ditentukan oleh pengendali.

Tambah lagi, mereka turut berdepan pelbagai cabaran seperti jumlah pesanan harian tidak sama, mengikut kawasan, ada yang tinggi permintaan namun ada sebaliknya.

Fikir juga hidup selepas berumahtangga yang akan mempunyai tanggungjawab besar untuk sara keluarga selain risiko atas jalan raya yang sangat tinggi.

AZIZUL NIZAM
AZIZUL NIZAM

Kepada anak muda, sambunglah belajar, dapatkan sijil, jangan ada keinginan untuk membuat p-hailing sampai tua, biarlah orang dewasa yang sudah tidak ada peluang untuk diambil bekerja lagi membuat sepenuh masa dalam bidang ini.

Jika bekerja hakiki, walaupun dari bawah kita masih ada peluang untuk naik ke peringkat lebih baik kalau ada kelulusan dan pengalaman berbanding bertahun-tahun menjadi penghantar makanan.

Justeru, bagi yang berpendidikan usahalah untuk bekerja dalam aliran masing-masing bagi meningkatkan pengetahuan dan skil.

- Peniaga, 49, Azizul Nizam Ali