Dr Mahathir dahagakan perhatian - Fahmi

Dr Mahathir (kiri), Fahmi (kanan).
Dr Mahathir (kiri), Fahmi (kanan).
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada Rabu menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai individu yang dahagakan perhatian (attention seeker) apabila mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan rakyat.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, beliau tidak pasti dari mana bekas perdana menteri itu mendapat maklumat sehingga mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata, sebelum ini, kerajaan sentiasa memberi ruang serta peluang kepada Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan kerana menghomati beliau yang pernah menjadi perdana menteri sebanyak dua kali.

Namun, Fahmi berkata, kerajaan tidak boleh sentiasa melayani karenah bekas Perdana PMenteri itu.

"Pada pandangan saya, kita tidak perlu layan sangat,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di sini.

Pada Selasa, Dr Mahathir ketika menyertai satu perhimpunan mendakwa rakyat negara ini hidup dalam keadaan tertekan akibat tekanan hidup.

Sementara itu, Fahmi menjelaskan sebelum ini beliau telah mendapat nasihat dan pandangan daripada Peguam Negara, penasihat undang-undang Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia berhubung dokumentari Man on the Run, dan ketiga-tiga pihak senada menyatakan tiada sebarang isu timbul ketika dokumentari itu ditayangkan pada Oktober lepas.

"Pada waktu itu, Lembaga Penapisan Filem telah memberikan kelulusan dan tidak berlaku sebarang isu sewaktu ia (dokumentari Man on the Run) ditayangkan kepada penonton,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini, media melaporkan peguam bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memohon supaya kerajaan mengarahkan perkhidmatan aplikasi penstriman, Netflix supaya menurunkan serta melarang tayangan dokumentari Man on the Run, yang mempunyai kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tetuan Shafee & Co mendakwa dokumentari itu, yang ditulis serta diarahkan oleh Cassius Michael Kim, adalah subjudis dan memudaratkan pembelaan Najib dalam perbicaraan kes 1MDB yang masih berjalan. - Bernama