Selangor mampu tanam jagung bijian

Izham (kanan) menunjukkan hasil tanaman jagung bijian di ladang Kuala Langat baru-baru ini.
Izham (kanan) menunjukkan hasil tanaman jagung bijian di ladang Kuala Langat baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor membuktikan mampu menghasilkan tanaman jagung bijian bagi mengurangkan kebergantungan bekalan import makanan ayam.

Exco Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, fasa pertama di ladang jagung bijian di Kuala Langat berjaya menghasilkan pengeluaran luar biasa sebanyak 6.7 tan bagi satu hektar.

Menurutnya, hasil pengeluaran bagi pusingan seterusnya dijangka mampu ditingkatkan sehingga lapan tan bagi keluasan sama.

"Ramai kata jagung bijian ini tidak boleh ditanam kerana lokasi (tanah) tidak sesuai namun Selangor buktikan dakwaan itu tidak betul.

"Selangor buktikan kita mampu, untuk permulaan jagung ditanam di tanah seluas 17 hektar dan akan diteruskan sehingga 121 hektar serta akan diperluas mencari lokasi lain yang bersesuaian," katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Katanya, tanaman jagung bijian itu bagi menampung keperluan empat juta tan makanan ayam setahun apabila hanya tiga peratus merupakan keluaran dalam negara sementara lainnya terpaksa diimport.

Izham (tiga dari kanan) meninjau lokasi ladang tanaman jagung bijian di Kuala Langat baru-baru ini.
Izham (tiga dari kanan) meninjau lokasi ladang tanaman jagung bijian di Kuala Langat baru-baru ini.

"Makanan ayam ini satu keperluan tinggi. Kita perlukan 40 juta tan setahun untuk makanan ayam jadi kenapa tak tanam sendiri?

Artikel Berkaitan:

"Jika mampu keluar sendiri maka kos dapat dikurangkan dan membantu dari segi keterjaminan makanan.

"Kos kita bagi satu tan hanya RM900 berbanding harga semasa (import) bijian ini RM1,200. Malah, jagung kita juga sangat berkualiti berbanding import," katanya.

Projek berkenaan adalah usahasama strategik antara kerajaan Selangor, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi dana sekuriti makanan KKDW sebanyak RM4 juta.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, hasil jagung bijian itu mendapat permintaan tinggi daripada penternak kecil serta pemain industri makanan ternakan khususnya di Selangor susulan harga jualan lebih rendah berbanding jagung import.

Izham (tiga dari kanan) meninjau lokasi ladang tanaman jagung bijian di Kuala Langat baru-baru ini.
Izham (tiga dari kanan) meninjau lokasi ladang tanaman jagung bijian di Kuala Langat baru-baru ini.

"Memandangkan kos penghasilan per ekar yang lebih rendah, PKPS memberi jaminan harga jualan yang ditawarkan adalah sekitar RM100 hingga RM250 per tan lebih murah berbanding jagung import.

"PKPS akan mempercepatkan penanaman baki 104 hektar bagi memenuhi permintaan pasaran yang memberangsangkan," katanya.

Ujarnya, PKPS sebagai agensi pelaksana juga berterima kasih kepada kepimpinan negeri dan KKDW yang meletakkan kepercayaan tinggi kepada PKPS terhadap kebolehlaksanaan projek ini.

"KKDW telah bersetuju untuk menambah peruntukan sebanyak RM8 juta untuk pembangunan sebuah lagi ladang jagung bijirin atas tanah milik PKPS di Rawang seluas 40 hektar," katanya.

Tambah beliau, tuaian kedua untuk ladang jagung bijirin PKPS di Kuala Langat dijangka pada bulan April sebanyak 25 hektar dengan unjuran tuaian sebanyak 152 tan.