Marah kerana ditangkap merokok

Pegawai penguatkuasa mengambil keterangan pengusaha kedai makan yang diperiksa dalam operasi itu.
Pegawai penguatkuasa mengambil keterangan pengusaha kedai makan yang diperiksa dalam operasi itu.
A
A
A

KEMAMAN - Dua lelaki bertindak memarahi penguat kuasa Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman hari ini selepas ditangkap merokok sambil menjamu selera di sebuah kedai makan di Kerteh.

Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman, Dr Mohd Anuar Abd Rahman berkata, pelanggan tersebut juga membuang rokok yang dihisap selepas menyedari kehadiran penguat kuasa dan memberi alasan merokok pada jarak tiga meter daripada premis.

"Sambil memarahi penguat kuasa, lelaki itu meminta mengambil pita ukur untuk mengukur jarak tersebut namun setelah diminta kad pengenalan kedua-duanya melarikan diri," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Penguat kuasa kemudian mengeluarkan notis kesalahan di bawah peraturan 12(1)(b) Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 kepada pemilik kedai kerana membenar pelanggan merokok di premisnya.

Dr Mohd Anuar berkata, walaupun pengusaha premis sudah memasang papan tanda larangan merokok namun tindakan menyedia meja hidangan untuk merokok menyalahi peraturan ini.

Katanya Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah menjelaskan bahawa kerusi dan meja yang diguna bagi hidangan makanan masih tertakluk dalam larangan merokok pada jarak 3 meter dari meja tersebut.

Pegawai dan penguatkuasa Pejabat Kesihatan Kemaman yang menjalankan operasi merokok dalam restoran dan kedai makan di Kemaman.
Pegawai dan penguatkuasa Pejabat Kesihatan Kemaman yang menjalankan operasi merokok dalam restoran dan kedai makan di Kemaman.

"Pengusaha premis juga didapati meletakkan dua bekas habuk rokok daripada tin susu di atas meja itu. Semua bekas habuk rokok tersebut telah dirampas sebagai bahan bukti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Penguatkuasaan dilakukan oleh anggota Pejabat Kesihatan Kemaman diketuai Pegawai Kesihatan Persekitaran, Mohd Rosli Abdul Wahab dengan kerjasama JKNT yang turut sama turun padang ke Kemaman hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Sasar jumlah berhenti merokok meningkat

Menurut Dr Mohd Anuar, sejak larangan merokok di restoran dan kedai makan dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu, sebanyak sembilan notis kesalahan telah dikeluarkan Pejabat Kesihatan Kemaman.

Notis melibatkan empat kesalahan merokok di dalam premis kedai makan, empat kesalahan kepada peniaga kerana gagal memasang papan tanda mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan membenar orang merokok dan satu kesalahan membabitkan perokok di bawah umur.

"Operasi yang dijalankan hari ini melibatkan seramai 18 anggota yang memeriksa 77 premis kedai makan di sekitar kawasan Telok Kalong, Kijal, Kemasek dan Kerteh.

"Pengusaha premis dan orang ramai diingatkan sentiasa mematuhi peraturan dengan memastikan tiada orang merokok di dalam premis dan meja hidangan pada jarak 3 meter daripada premis dan meja hidangan," katanya.