'Keldai dadah' diupah RM8,000 bawa 8kg syabu dalam bagasi

Imran (tengah) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas susulan tangkapan seorang lelaki di KLIA2, Sepang, Ahad lalu.
Imran (tengah) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas susulan tangkapan seorang lelaki di KLIA2, Sepang, Ahad lalu.
A
A
A

SEPANG - Polis merampas dadah bernilai lebih setengah juta dengan tertangkapnya dua keldai dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini dan Lapangan Terbang Miri, Sarawak, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman berkata, suspek pertama iaitu seorang lelaki berusia 25 tahun dicekup anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA di kawasan Perlepasan Aras 3, KLIA 2 kira-kira jam 5 pagi, selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.

Bagasi yang dirampas polis digunakan suspek untuk membawa dadah di KLIA2, Sepang, Ahad lalu.
Bagasi yang dirampas polis digunakan suspek untuk membawa dadah di KLIA2, Sepang, Ahad lalu.

Katanya, pemeriksaan pada bagasi menemui lapan bungkusan plastik lut sinar mengandungi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 8 kilogram (kg) bernilai RM264,000 yang dibalut dengan pakaian.

"Soal siasat mendapati suspek akan berlepas ke Bintulu, Sarawak pada hari yang sama jam 6.30 pagi.

"Suspek mendedahkan datang ke Kuala Lumpur bersama seorang rakan pada Sabtu (20 Januari) bertujuan untuk mendapatkan bekalan dadah," katanya dalam sidang akhbar di IPD KLIA di sini pada Rabu.

Tambahnya, suspek yang memiliki enam rekod jenayah dan bekerja sebagai tukang masak di sebuah hotel di Sabah itu juga mendakwa menerima upah RM8,000 untuk satu trip membawa dadah.

Susulan tangkapan ini, kata Imran, maklumat lanjut telah disalurkan kepada BSJN IPD Miri dan berjaya membawa tangkapan rakan suspek yang juga lelaki tempatan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, suspek kedua ini ditahan di kawasan Ketibaan Lapangan Terbang Miri dengan rampasan lapan bungkusan plastik lut sinar mengandungi serbuk dan kristal disyaki dadah syabu seberat 8.3 kg bernilai RM274,000.

Jenis dadah yang dirampas polis susulan tangkapan suspek di KLIA 2, Sepang, Ahad lalu.
Jenis dadah yang dirampas polis susulan tangkapan suspek di KLIA 2, Sepang, Ahad lalu.

"Modus operandi suspek ini ialah membalut dadah dengan pakaian seterusnya menggunakan khidmat 'self check-in'," katanya.

Tegasya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan dadah menerusi Hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di talian 012-2087222," ujarnya.