Lelaki Thai maut ditembak di kepala

Mohamed Nordin
Mohamed Nordin
A
A
A

MANJUNG - Seorang lelaki warganegara Thailand maut selepas ditembak di kepala oleh sekumpulan lelaki Indonesia di atas sebuah bot di perairan Pantai Remis di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian berkenaan daripada pemilik bot yang merupakan warga tempatan.

Menurutnya, pemilik bot dimaklumkan mengenai kejadian oleh pekerjanya melalui alat komunikasi walkie-talkie ketika bot terbabit dalam perjalanan pulang ke pelantar ikan di Pantai Remis di sini.

"Mangsa meninggal dunia dengan kesan tembakan di kepala dan mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat.

"Kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman mati," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, Mohamed Nordin berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes terbabit diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Azalan Ab Karim di talian 019-3927837 bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan: