Ikrar capres mahu tangani korupsi hanya omong kosong?

Dari kiri: Anies, Prabowo dan Ganjar berikrar mahu membanteras rasuah di negara itu.
Dari kiri: Anies, Prabowo dan Ganjar berikrar mahu membanteras rasuah di negara itu.
A
A
A

JAKARTA - Calon presiden (capres) Indonesia telah menggariskan rancangan mereka untuk membanteras rasuah, namun aktivis dan penganalisis berpendapat janji kempen menjelang Pilihan Raya Presiden (Pilpres) pada 14 Februari ini adalah tidak berkesan bagi memerangi korupsi yang sudah berakar umbi.

Tiga capres iaitu Anies Baswedan, Prabowo Subianto dan Ganjar Pranowo mengusulkan idea tersebut semasa acara anjuran Komisi Pemberantasan Rasuah (KPK) pada minggu lalu.

Ia termasuk menaikkan gaji penjawat awam, semakan undang-undang untuk memulihkan kuasa KPK dan menerima pakai pendigitalan bagi transaksi kewangan.

Penganalisis mempersoalkan rasuah politik yang sudah menjadi ‘endemik’ di negara itu, namun tidak ditekankan oleh kesemua capres.

Penyelidik Trans-parency International Indonesia, Alvin Nicola berkata, korupsi politik ter-utama berkaitan pembiayaan dan bagaimana ia ditadbir urus merupakan isu terbesar yang masih belum diselesaikan. “Isu pembiayaan politik telah diabaikan. Kesemua capres nampaknya tidak mengambil serius isu konflik berkepentingan secara serius dan cuba memberi jaminan kepada orang ramai bahawa pembiayaan kempen tidak akan menjejaskan proses pemilihan anggota Kabinet atau membuat dasar,” ujarnya.

Pengarah badan pemikir, Makmal Antirasuah berpusat di Banten, Adnan Topan Husodo pula berkata, rasuah politik dan dalam sistem kehakiman kekal sebagai bentuk korupsi paling biasa di Jakarta.

“Politik di Indonesia adalah kompleks, namun tiada capres yang mencadangkan pembaharuan dalam bidang politik termasuk pembiayaan kempen secara telus,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pindaan undang-undang berkaitan rasuah pada 2019 telah mengekang kuasa KPK.
Pindaan undang-undang berkaitan rasuah pada 2019 telah mengekang kuasa KPK.

KUASA KPK TERHAD

Aktivis antirasuah mendakwa usaha Indonesia menentang rasuah semakin perlahan sejak kebelakangan ini setelah pindaan undang-undang berkaitan pada 2019 yang mengekang kuasa KPK.

Ia dilihat sebagai langkah sistematik untuk melemahkan agensi tersebut yang telah ‘memijak’ ramai pegawai korup.

Adnan berpendapat syarat pertama sebelum melakukan pembaharuan dalam sektor lain adalah dengan memperkukuhkan KPK dan memastikan kebebasannya.

“Jika KPK tidak bebas, ia tidak akan cukup berani untuk menangani kes rasuah politik,” tegasnya.

Aktivis antirasuah mengadakan protes membantah amalan korupsi yang semakin membimbangkan di Indonesia.
Aktivis antirasuah mengadakan protes membantah amalan korupsi yang semakin membimbangkan di Indonesia.

Tambah beliau, pembaharuan utama dalam sistem kehakiman boleh dilakukan untuk mengehadkan budi bicara penguat kuasa undang-undang dengan mewujudkan mekanisme semak dan imbang serta mengukuhkan kawalan ke atas mereka oleh badan bebas.

Anies dan Ganjar yang disebut bakal bergabung ketika pusingan kedua Pilpres ada menyebut tentang kuasa KPK yang semakin terhad.

“Kami mahu memulihkan kuasa undang-undang KPK dan mengukuhkan kedudukan mereka semula,” kata Anies.

Ganjar yang juga bekas Gabenor Jawa Tengah menggesa pengembalian kuasa penuh kepada agensi rasuah ‘buster’ berkenaan.

Sementara itu, Prabowo mencadangkan kebajikan pegawai berpangkat tinggi seperti hakim, menteri dan komander tentera dipertingkatkan sebagai usaha mengelakkan rasuah.

“Kita perlu meningkatkan kualiti hidup. Kita mampu laksanakan perkara itu kerana saya sudah membuat kira-kira dengan pasukan pakar saya. Indonesia bukannya negara miskin,” menurutnya.

Bagi pakar undang-undang di Universiti Gadjah Mada, Dr Zainal Arifin Mochtar, langkah menaikkan gaji hanya boleh menangani rasuah dan tidak dapat membendung ketamakan individu.

“Indonesia memerlukan ‘peta jalan yang jelas’ untuk berjaya menangani ‘endemik’ korupsi,” katanya. - Agensi


Info

- Kaji selidik oleh Transparency International pada 2022 menunjukkan Indonesia berada di kedudukan ke-110 manakala Singapura di tangga kelima dan Malaysia di tangga ke-61 daripada 180 negara paling kurang amalan rasuah.

- Antara 2018 dan 2023, seramai enam menteri dan seorang timbalan menteri Kabinet pimpinan Presiden Joko Widodo atau Jokowi dipenjarakan atau didakwa kerana terlibat rasuah.

- Pada November 2023, Pengerusi KPK, Firli Bahuri dituduh memeras ugut wang daripada bekas Menteri Pertanian, Syahrul Yasin Limpo yang ditahan kerana rasuah.