‘PBS, PBD perlu dinilai ikut standard’ - Mohd Nazri

Mohd Nazri Azalli
Mohd Nazri Azalli
A
A
A

SHAH ALAM - Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) perlu mempunyai kaedah penilaian mengikut standard sama seperti peperiksaan berpusat bagi mengukur prestasi mahupun kejayaan murid secara adil.

Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan Taman Klang Utama, Mohd Nazri Azalli berkata, walaupun peperiksaan berpusat bukan bukti utama kejayaan murid, namun ia membantu mereka agar mempunyai matlamat jelas dalam aspek akademik.

Menurutnya, peperiksaan berpusat seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) merupakan kaedah atau mekanisme mengukur kefahaman anak-anak terhadap silibus pembelajaran.

“Saya menyokong UPSR dikembalikan tetapi jangan kita lupakan PBD dan PBS kerana kedua-dua sistem ini sangat baik cuma perlu standard untuk setiap sekolah.

“PBD dan PBS perlu ada pendekatan yang sama, baru kita dapat menilai sejauh mana pemahaman anak-anak tentang sesuatu perkara.

“Kita sebagai PIBG menyokong inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Siri 429 yang bertajuk ‘UPSR, PT3: Perlukah 'u-turn'?’ yang dihoskan oleh Ismail Adnan yang disiarkan secara langsung di semua platform media sosial Sinar Harian pada Selasa.

Wacana Sinar edisi 429 bertajuk “UPSR, PT3: Perlukah 'U-Turn'?” menampilkan (dari kiri) hos, Ismail Adnan; Pensyarah UCSI University, Kuala Lumpur, Othman Talib; Finalis Anugerah Guru Global 2020, Samuel Isaiah dan Yang Dipertua PIBG SK Taman Klang Utama, Mohd Nazri Azalli yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa. FOTO: SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Wacana Sinar edisi 429 bertajuk “UPSR, PT3: Perlukah 'U-Turn'?” menampilkan (dari kiri) hos, Ismail Adnan; Pensyarah UCSI University, Kuala Lumpur, Othman Talib; Finalis Anugerah Guru Global 2020, Samuel Isaiah dan Yang Dipertua PIBG SK Taman Klang Utama, Mohd Nazri Azalli yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa. FOTO: SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID

Artikel Berkaitan:

Turut hadir Finalis Anugerah Guru Global 2020, Samuel Isaiah dan Pensyarah UCSI University, Kuala Lumpur, Dr Othman Talib.

Mengulas lanjut, menurut Mohd Nazri, masalah utama ibu bapa ialah pemilihan silibus yang terlalu sukar sehingga mengakibatkan masalah pemahaman terhadap setiap subjek.

Tambah beliau, masalah kekurangan fasiliti dan keadaan kelas yang kurang baik juga merupakan faktor murid-murid tidak mempunyai motivasi untuk meneruskan persekolahan.

Ujarnya, ibu bapa perlu mendorong semangat anak-anak untuk belajar selain mencipta daya kreativiti yang lebih baik.

“Kebanyakan soalan silibus di sekolah adalah sangat sukar sehingga ibu bapa sendiri susah nak bantu.

"Oleh itu kita perlu satu silibus mengikut tahap yang sesuai dengan aras fikir murid,” katanya.