Kes Covid-19 Thailand melonjak

Pegawai kesihatan melakukan ujian Covid-19 terhadap pelajar dan guru di Narathiwat, selatan wilayah Thailand. - AFP
Pegawai kesihatan melakukan ujian Covid-19 terhadap pelajar dan guru di Narathiwat, selatan wilayah Thailand. - AFP
A
A
A

BANGKOK - Menurut laporan terbaharu Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) Thailand, seramai 718 pesakit dimasukkan ke hospital antara 14 hingga 20 Januari akibat lonjakan jangkitan Covid-19 di negara itu.

Statistik itu juga mendedahkan jumlah kematian meningkat kepada 11 orang, berbeza dengan empat orang dilaporkan sebelum ini.

Purata kemasukan harian pesakit ke hospital mencapai 102 orang yang dianggap membimbangkan dan sekali gus menunjukkan peningkatan 12.9 peratus pada minggu lalu.

Daripada seramai 718 kemasukan, 209 daripadanya mengidap jangkitan paru-paru yang serius manakala 149 memerlukan bantuan pernafasan.

Lebih membimbangkan, laporan enam daripada kematian tersebut tidak pernah mendapatkan suntikan vaksin.

Jabatan Sains Perubatan mengenal pasti punca utama di sebalik lonjakan itu adalah daripada varian Covid JN.1.

Gejala-gejalan akibat JN.1 seperti batuk, sakit otot, sakit tekak, sakit kepala, dan hidung berair. Walau bagaimanapun, tiada bukti menunjukkan bahawa varian ini lebih teruk daripada varian lain.

Justeru, DDC memberi amaran kepada orang ramai supaya berwaspada terhadap virus itu, menggesa pemakaian topeng muka di tempat sesak serta mengamalkan kekerapan cuci tangan dan mengambil ujian Covid-19 jika mengidap simptom seperti selesema. - Agensi

Artikel Berkaitan: