Badan tunggal pengiktirafan, penyelarasan TVET diwujudkan

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan mewujudkan satu badan tunggal untuk penyelarasan bagi pengiktirafan dan penarafan kelulusan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penarafan itu dilakukan dengan kerjasama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

"Ia adalah untuk menyesuaikan semua kursus TVET berdasarkan permintaan industri," katanya ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis TVET negara di sini pada Selasa.

Menurutnya, penyelarasan itu juga bagi mengelakkan ketidakjajaran mengenai kursus yang tidak bersesuaian dengan keperluan industri.

"Berbeza dengan dahulu di mana silibus di dalam TVET ini dilakukan berdasarkan apa yang boleh ditawarkan, jadi perubahan yang dilakukan ini berdasarkan kepada permintaan daripada pemain industri," katanya.

Jelas beliau, tumpuan adalah terhadap bidang yang berteknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi futuristik termasuk kenderaan elektrik (EV) yang kini telah dinaiktaraf oleh beberapa negara menjadi kenderaan tenaga boleh diperbaharui (REV).

"Saya ingin China menawarkan lebih 2,000 tempat kepada lelajar TVET Malaysia untuk melanjutkan pelajaran di negara itu dalam beberapa bidang teknologi tinggi.

"Tawaran tersebut atas kepercayaan terhadap kualiti lepasan TVET di negara kita adalah setaraf dengan kelulusan minimum yg diperlukan oleh institusi TVET di China," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujar Ahmad Zahid, Majlis TVET Negara turut memutuskan agar beberapa kursus TVET di dalam pertanian dan perladang diperkasakan.

"Dengan latihan kemahiran ini, sektor perladangan tidak lagi bergantung kepada pekerja asing tetapi sebaliknya pekerja mahir tempatan keluaran TVET yang diberi taraf penuai (harvester)," katanya.

Beliau berkata, taraf penuai tersebut akan memberikan gaji yang lebih tinggi daripada pengutip buah biasa.

"Terdapat lebih kurang 450,000 hektar ladang kelapa sawit yang tidak ada pekerja maka hasil-hasil itu terbuang dan ini merugikan negara.

"Oleh sebab itu, pendekatan baharu adalah menyediakan kursus 'harvester' untuk pelajar-pelajar yang mengikuti kursus di beberapa TVET tertentu agar diberi peluang berada di taraf lebih tinggi dalam bidang perladangan dan pertanian," katanya.

Di samping itu, Ahmad Zahid berharap lepasan TVET dapat diberi pengiktirafan sebagai ahli teknologi oleh Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) agar memberi nilai tambah kepada mereka bagi meningkatkan tahap gaji selaras dengan tawaran pihak industri dalam bidang teknologi tinggi.

MBOT berperanan sebagai badan profesional bagi mengiktiraf ahli teknologi dan juruteknik profesional juga diharap akan terus membantu memperkukuhkan ekosistem TVET negara agar ia mengikut standard bertepatan dengan keperluan industri.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!