Ibu dua anak dituduh tipu beli barangan mewah RM1.24 juta

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen berasingan di sini pada Selasa atas dua pertuduhan menipu dua wanita berhubung pembelian 109 barangan berjenama mewah antaranya kasut, jam tangan dan beg wanita mencecah RM1.24 juta pada tahun lalu.

Kee Cel Ghen, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Azrul Darus dan Datin Sabariah Othman.

Mengikut semua pertuduhan, ibu kepada dua anak ini didakwa menipu dua wanita berusia 25 dan 31 tahun dengan memperdayakan mangsa dalam urusan mendapatkan 109 jenis barangan berjenama mewah antaranya beg Hermes dan Louis Vuitton serta jam tangan Rolex.

Ia mendorong dua mangsa ini menyerahkan wang masing-masing RM312,300 dan RM916,920 sedangkan mereka tidak akan berbuat demikian sekiranya mengetahui tidak akan memperoleh barangan tersebut.

Kesalahan didakwa dilakukan di dua rumah di Taman Fadason dan Jalan Udang Rawa Taman Sri Segambut, di sini antara 2 Mei dan 18 Julai tahun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat serta juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amir Hanif Ahijman dan Raihanah Abd Razak mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM235,000 bagi kedua-dua kes dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, wanita itu yang diwakili peguam, Muhamad Razman Sahat dan Syawal Razak merayu ikat jamin berkenaan dikurangkan kerana anak guam mereka perlu menyara ibu bapanya yang uzur.

Artikel Berkaitan:

“Dia yang mempunyai dua anak berusia enam dan lapan tahun, turut mempunyai masalah depresi,” kata Muhamad Razman.

Selepas mendengar permohonan berkenaan, kedua-dua mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM70,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Februari depan untuk sebutan semula kes.