Sasar kutipan RM400 juta menerusi PBTPay

Nga Kor Ming
Nga Kor Ming
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan kutipan hasil RM400 juta menerusi pembayaran berpusat dalam talian, PBTPay pada tahun ini.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, ia merupakan salah satu daripada empat fokus utama kementerian tahun ini.

"Sejak diperkenalkan pada tahun 2021, sebanyak RM600 juta berjaya dikutip menerusi PBTpay dan tahun ini sahaja kita sasarkan RM400 juta," katanya kepada pemberita selepas Amanat Tahun Baharu di sini pada Selasa.

Menurut beliau, penggunaan PBTPay juga akan perluaskan kepada 102 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Semenanjung bagi memudahkan rakyat membayar cukai pintu atau kompaun menerusi dalam talian.

"Bayangkan jika dia ada rumah di Terengganu tetapi bekerja di Kuala Lumpur, jadi menerusi PBTPay dia tidak perlu pulang semata-mata untuk membayar cukai atau kompaun," katanya.

Tambah Kor Ming, langkah ke arah mentransformasi digital itu akan terus diperhebat oleh kementerian.

"Kita sedang dalam proses untuk membangunkan aplikasi yang mana saya harap semua perkhidmatan agensi dan jabatan KPKT berada di bawah satu super aps," katanya.

Terdahulu ketika berucap pada majlis tersebut, beliau berkata, kementerian akan memperkenalkan model baharu Program Perumahan Rakyat (PPR) yang berdaya huni, selesa dan selamat.

Artikel Berkaitan:

"Model baharu ini setanding dengan perumahan awam yang dibangunkan oleh Housing Development Board (HDB) di Singapura," jelasnya.

Beliau berkata, kementerian sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat dengan peningkatan infrastruktur saban tahun.

"Bagi tahun 2023, sebanyak 5,196 projek prasarana awam telah siap dibina pada 2023 manakala tahun ini, tidak kurang daripada 5,000 projek akan dilaksanakan dengan peruntukan RM784 juta,” katanya.