Polis tahan lelaki cuba edar dadah di pusat hiburan

Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan. Foto hiasan
Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan. Foto hiasan
A
A
A

SIBU - Seorang lelaki berusia 37 tahun ditahan bersama 381.38 gram dadah pelbagai jenis dalam serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu ke atas sebuah pusat hiburan di Jalan Lanang di sini pada Ahad malam.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, serbuan itu dibuat kira-kira jam 12.20 tengah malam dan pasukan keselamatan menemukan 10 peket plastik pelbagai saiz bertulis Juice Master disyaki mengandungi dadah jenis ekstasi dengan berat kasar 376.2 gram semasa pemeriksaan ke atas suspek.

"Turut dijumpai tiga peket plastik lut sinar berisi ketulan kristal seberat 3.78 gram disyaki ketamin dan empat biji pil ekstasi dengan berat kasar 1.4 gram. Nilai semasa rampasan dianggarkan berjumlah RM5,101,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ujian air kencing ke atas suspek didapati negatif dan polis telah mendapat perintah tahanan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

Artikel Berkaitan: