Dipenjara 30 tahun culik ahli perniagaan untuk tebusan RM2 juta

Kompleks Istana Kehakiman Putrajaya. Foto Bernama
Kompleks Istana Kehakiman Putrajaya. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini hari ini menggantikan hukuman penjara sepanjang hayat dua bekas ejen hartanah lelaki dengan pemenjaraan bagi tempoh 30 tahun bagi kesalahan menculik seorang ahli perniagaan wanita untuk mendapatkan tebusan RM2 juta pada 2015.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M. Komathy Suppiah bagaimanapun menolak rayuan Lew Ngee Chin dan Chin Yoon Tack@Chin Yoon Tock berhubung sabitan terhadap mereka.

Ngee Chin dikecualikan daripada hukuman sebat kerana dia berusia 50 tahun pada 2023 manakala Yoon Tack, 47, dikenakan dua kali sebatan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan rayuan Telaha Sanchis, 42, seorang penganggur, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya.

Dalam penghakimannya, Vazeer berkata, terdapat bukti kukuh membabitkan kes terhadap Ngee Chin dan Yoon Tack.

Beliau berkata, mangsa telah secara positif mengenal pasti kedua-dua tertuduh di dalam sebuah kereta yang digunakan untuk menculiknya dan di sebuah rumah kedai di mana dia dikurung.

Ketiga-tiga tertuduh telah dijatuhi hukuman penjara sepanjang hayat oleh Mahkamah Tinggi pada 9 Mac 2020 selepas mereka didapati bersalah menculik dan mengurung mangsa yang berusia 63 di Wei Ben Wellness & Health Care Sdn Bhd di Taman Sea Kelana Jaya, Selangor pada kira-kira 6 petang 10 November 2015.

Menurut fakta kes, mangsa telah diculik dan dikurung di sebuah rumah kedai di Taman Bukit Anggerik, Cheras, Kuala Lumpur selama tujuh hari sebelum dibebaskan berhampiran Stesen LRT Sentul pada 16 Nov 2015 selepas wang tebusan diletakkan di satu lokasi di sepanjang Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) arah selatan.

Artikel Berkaitan:

Polis kemudian menahan ketiga-tiga lelaki dan mendapatkan semula RM700,000. - Bernama