Arul dedah punca Malaysia gagal di Oman

Speedy Tigers terpaksa berpuas hati menamatkan Kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di Oman di tangga kelima. Foto FB MHC
Speedy Tigers terpaksa berpuas hati menamatkan Kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di Oman di tangga kelima. Foto FB MHC
A
A
A

TIGA faktor dikenal pasti menjadi antara punca kegagalan skuad hoki negara meraih keputusan positif dalam saingan Kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di Oman apabila terpaksa berpuas hati menamatkan kempen di tempat kelima terbaik.

Jurulatih, Arul Selvaraj mendedahkan antara sebab yang dilihat menjadi kekangan buat skuad The Speedy Tigers pergi jauh dalam kejohanan tersebut ialah kecergasan fizikal dalam kalangan pemain.

“Salah satu perkara yang perlu diperbaiki ialah kecergasan fizikal dan kita akan terus bekerja dengan lebih keras,” katanya.

Dalam aksi terakhir penentuan tempat kelima dan keenam menentang Kanada malam Ahad, gol kemenangan Speedy Tigers menerusi shoot out dijaringkan Firhan Ashari, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal.

Pada aksi turut menyaksikan penjaga gol negara, Muhammad Hafizuddin Othman dipilih sebagai pemain terbaik.

Arul menjelaskan antara punca lain ialah ketumpulan penyudah menterjemahkan peluang dalam bentuk jaringan.

“Secara keseluruhan, pada pandangan peribadi saya kalau tengok statistik semuanya lebih tinggi (mencipta peluang) daripada pihak lawan tetapi kita tidak berjaya untuk meraih kemenangan disebabkan sentuhan penyudah (tumpul),” katanya.

Selain itu, Arul menambah, pemain-pemain juga gagal membuat keputusan lebih teliti dan baik ketika berada dalam kawasan pasukan lawan.

Artikel Berkaitan:

“Ketika berada dalam 'circle opponent' kita tak lakukan dengan baik.

"Decision making dalam circle lawan kurang baik,” katanya.

Skuad Speedy Tigers terpaksa melupakan temasya terbesar dunia itu bermula Julai depan setelah menamatkan saingan peringkat Kumpulan A di kedudukan tercorot dengan satu mata, di belakang Great Britain yang muncul juara kumpulan (sembilan mata), Pakistan (empat mata) dan China (tiga mata).

Malaysia membuka tirai kempen di Oman dengan langkah kiri apabila tumpas 2-3 kepada China, kemudian tewas 1-4 dengan Great Britain dan terikat 3-3 menentang Pakistan pada Jumaat.

Hanya tiga pasukan terbaik dalam kempen kelayakan di Oman akan melayakkan diri ke Paris 2024.

Kali terakhir Malaysia layak ke Olimpik adalah pada edisi 2000 di Sydney, Australia.