Lengkapkan penjawat awam dengan pengetahuan digital perlu diutamakan - Cuepacs

Adnan
Adnan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Usaha melengkapkan penjawat awam dengan pengetahuan digital perlu diutamakan bagi memastikan kejayaan pelaksanaan inisiaitif pendigitalan perkhidmatan awam, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat.

Beliau berkata, penglibatan penjawat awam dalam program pembelajaran dalam talian 'AI Untuk Rakyat' yang dilaksanakan sebagai panduan kepada agensi kerajaan bagi memacu agenda digital merupakan langkah positif ke arah menjayakan inisiatif itu.

"Cuepacs merasakan penglibatan penjawat awam dalam program ini akan memberi kesan positif serta nilai tambah yang baik kepada sistem penyampaian perkhidmatan awam.

"(Teknologi) AI atau kecerdasan buatan merupakan suatu bidang yang mesti dikuasai oleh penjawat awam kerana ia mampu meningkatkan kecekapan dalam memproses sesuatu data selain memberi impak besar kepada pelaksanaan dasar dan penyampaian perkhidmatan dalam pelbagai cara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan berkata, sebagai kumpulan yang melaksanakan dasar kerajaan, penjawat awam bertanggungjawab mendahului apa juga inisiatif yang dibawa kerajaan termasuk AI Untuk Rakyat, justeru menyeru semua ketua jabatan memastikan masa yang sesuai disusun bagi kakitangan melengkapkannya.

Terdahulu, semua penjawat awam di peringkat Persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan diarah menyelesaikan program AI Untuk Rakyat menerusi surat pekeliling yang dikeluarkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz pada 17 Januari lepas.

Ia boleh diakses melalui www.ai.gov.my dalam bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, serta Tamil, dan ia dibahagikan kepada dua bahagian iaitu ‘AI Aware’ dan ‘AI Appreciate’. - Bernama

Artikel Berkaitan: