Empat individu didakwa curi, lupus 442 kad akses sistem milik TM

Dharmaraj (dua, kiri) dan dan Puviyarasan (tiga, kiri) tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen dan Majistret di Melaka, pada Isnin.
Dharmaraj (dua, kiri) dan dan Puviyarasan (tiga, kiri) tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen dan Majistret di Melaka, pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Empat lelaki termasuk dua warga India didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini, pada Isnin atas 26 tuduhan mencuri, menerima dan melupuskan harta curi milik Telekom Malaysia (TM) berjumlah RM649.189.63.

Warga India, Dharmaraj Ramar, 34, Puviyarasan Arjunan, 25, dan dua lelaki tempatan masing-masing Hiew Vee Looh, 42, Yeo Choon Leng, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan dalam empat prosiding berasingan.

Tertuduh dua warga India (depan) dan dua rakyat tempatan dibawa keluar dari mahkamah.
Tertuduh dua warga India (depan) dan dua rakyat tempatan dibawa keluar dari mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan di hadapan Majistret Khairunnisak Hasni, Vee Looh dan Choon Leng secara bersama didakwa telah mencuri 442 kad akses sistem di kabinet milik TM di lokasi berbeza sekitar Melaka Tengah antara 29 Disember 2023 hingga 7 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang boleh hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Di hadapan hakim sama, Dharmaraj dan Puviyarasan yang diwakili peguam Muhammad Afiq Yahawa mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan dengan niat curang melupuskan harta syarikat TM dan minta dibicarakan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai besi buruk di Capitol Indusrial Centre, Jalan Sungai Besi Cheras, Kuala Lumpur pada 4 Januari lalu.

Pendakwaan bagi kesalahan tersebut dijalankan mengikut Seksyen 414 dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Manakala di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail dan Hakim Darmafikri Abu Adam, dua warga India itu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan secara bersama menerima harta curi milik TM.

Kesalahan itu dilakukan pada 29 dan 31 Disember 2023 di alamat sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 413 kanun sama.

Majistret Khairunnisak membenarkan dua tertuduh warga tempatan diikat jamin RM97,000 setiap seorang bagi semua 15 pertuduhan di bawah Seksyen 379 Kanun keseksaan.

Sementara itu, Dharmaraj dan Puviyarasan yang dituduh mengikut Seksyen 414 dibenarkan jaminan sebanyak RM 37,000 setiap seorang selain syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri setiap bulan di balai polis berhampiran.

Hakim Mohd Sabri dan Darmafikri bagaimanapun tidak membenarkan jaminan kepada dua warga asing itu yang didakwa di bawah Seksyen 413 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan bagi kesemua prosiding itu dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rashidah Baharom, Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Wardah Ishhar.

Mahkamah turut menetapkan 5 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.