ARCC: Platform untuk tambah baik, ubah perkhidmatan pemulihan - Saifuddin

Saifuddin menyampaikan ucapannya pada Persidangan Pembetulan Wilayah Asean (ARCC) 'Transforming Corrections' di Langkawi. Foto Bernama
Saifuddin menyampaikan ucapannya pada Persidangan Pembetulan Wilayah Asean (ARCC) 'Transforming Corrections' di Langkawi. Foto Bernama
A
A
A

LANGKAWI - Platform Asean Regional Correctional Conference (ARCC) yang pertama bertujuan untuk meningkat dan mengubah perkhidmatan pemulihan di dalam negara, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, persidangan bertemakan 'Transforming Corrections' (Transfomasi Pemulihan) yang dihoskan oleh Jabatan Penjara itu dimulakan dengan perbincangan mendalam berpaksikan tema pragmatik yang kekal relevan dalam perkhidmatan pemulihan di Malaysia.

"Persidangan ini berlangsung pada masa transformasi sistem pemulihan di Malaysia, dan ia pastinya akan memberi sumbangan bukan sahaja kepada pembangunan Jabatan Penjara Malaysia tetapi juga meningkatkan lagi kerjasama serantau kita,” katanya dalam ucapannya pada majlis perasmian ARCC di Akademi Koreksional Malaysia di sini hari ini.

Saifuddin (depan, tengah) bersama delegasi Persidangan Pembetulan Wilayah Asean (ARCC) selepas menyampaikan ucapan pada ARCC 'Transforming Corrections' pertama di Langkawi. Foto Bernama
Saifuddin (depan, tengah) bersama delegasi Persidangan Pembetulan Wilayah Asean (ARCC) selepas menyampaikan ucapan pada ARCC 'Transforming Corrections' pertama di Langkawi. Foto Bernama

Beliau berkata, banyak negara termasuk Malaysia, telah memperuntukkan sumber untuk menangani cabaran seperti kesesakan penjara dan struktur penjara yang ketinggalan zaman.

Beliau menambah bahawa cabaran yang timbul memerlukan kerjasama yang lebih mendalam untuk meneroka penyelesaian inovatif, memperhalusi kaedah pembetulan dan memanfaatkan teknologi baharu, bertujuan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan pemulihan.

"ARCC adalah tempat untuk peserta terlibat (dalam) dan membincangkan usaha untuk menangani cabaran yang muncul dalam pentadbiran pemulihan di rantau ini.

"Cabaran ini memerlukan kerjasama yang lebih baik dalam kalangan agensi berkaitan di rantau ini untuk mencapai penyelesaian bagi menambah baik teknologi pemulihan...untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan pemulihan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Peserta ARCC termasuk pegawai tinggi penjara dan perkhidmatan pemulihan dari sembilan negara ASEAN iaitu Thailand, Indonesia, Singapura, Brunei, Kemboja, Filipina, Vietnam, Laos dan Malaysia.

Enam pertubuhan antarabangsa turut mengambil bahagian dalam persidangan ini, termasuk His Majesty's Prison and Probation Service (HMPPS) dari Britain, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) dan Institut Pencegahan Jenayah dan Layanan Pesalah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berpangkalan di Jepun.

ARCC selama tiga hari itu, yang bermula semalam, disertai 130 peserta. - Bernama