Ramadan: Penganjur perlu sensitif pilih program

Dr Mohd Na'im Mokhtar
Dr Mohd Na'im Mokhtar
A
A
A

NILAI - [DIKEMAS KINI] Semua pihak dinasihatkan supaya lebih sensitif dalam pemilihan penganjuran program terutama menjelang dan sepanjang Ramadan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, program yang dianjurkan perlulah bersesuaian dan sebaiknya lebih menjurus kepada usaha memperkukuhkan iman dan takwa masyarakat Islam.

"Secara umumnya nasihat saya, kita menggalakkan supaya dalam bulan Ramadan atau sebelum Ramadan ini, perbanyakkan usaha ke arah memperkukuhkan iman dan takwa.

"Ini kerana kita nak membina Madrasah Ramadan. Jadi sudah tentu program yang kita harapkan dianjurkan mesti menjurus kepada membina masyarakat Islam yang bertakwa," katanya ketika ditemui selepas Majlis Syarahan Malaysia Harmoni di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian mengulas teguran Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berhubung penganjuran konsert 'Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza' yang bakal dijayakan penyanyi terkenal itu pada 9 Mac depan iaitu beberapa hari menjelang Ramadan.

Menurutnya, saranan itu bukan saja kepada penggiat seni, tetapi semua pihak sebagai menghormati bulan Ramadan.

Tambahnya, pihaknya tiada masalah untuk menyokong pelaksanaan program atau aktiviti dianjurkan oleh mana-mana pihak sekalipun selagi ia membawa mesej yang baik.

"Contohnya program Solat Subuh Macam Jumaat cetusan penyanyi Alif Satar yang mana secara peribadi kita dukung program sebegini kerana ia membawa masyarakat dekat kepada ALLAH.

Artikel Berkaitan:

"Sudah tentu bulan Ramadan bulan mulia dalam Islam.

"Sebagai orang Islam, tak kira penggiat seni ke, kita perlu ada sikap dan sifat hormati bulan Ramadan ini," katanya.

Dalam pada itu Mohd Na'im turut mengesyorkan Mufti Pulau Pinang dan penganjur konsert Siti Nurhaliza untuk duduk semeja berbincang bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

Jelasnya, sememangnya mufti perlu dijadikan rujukan jika ia melibatkan soal hukum dan agama, tetapi mereka juga perlulah berhati-hati dalam memberikan pandangan.

Tambahnya, ia supaya kenyataan diberi tidak menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat Islam.

"Pandangan diberikan mestilah menyelesaikan masalah dan bukannya tergantung," katanya.

Sementara itu, beliau turut menyarankan semua universiti awam mewujudkan Kursus Pendidikan Keamanan bagi membangunkan penghayatan kepentingan keamanan dalam kalangan generasi muda dan masyarakat.

"Lontaran idea saya ini bukan saja di USIM tapi juga di universiti lain.

"Kalau subjek atau kursus ini boleh ditetapkan dalam kalangan pelajar, alhamdulillah.

"Jadi apabila mereka tamat pengajian nanti mereka dapat menetapkan dan beri penjelasan bantu kerajaan untuk wujud suasana dan harmoni dalam negara nanti," katanya.

Dalam pada itu, beliau ketika menyampaikan syarahan turut memaklumkan kursus pendidikan keamanan di universiti-universiti Eropah mula popular dikembangkan kepada para pelajar.

Ujarnya, teori dan amalan pelaksanaan keamanan dari pelbagai perspektif tamadun ditelusuri secara perbandingan dan menyeluruh.

Berkenaan program Syarahan Malaysia Harmoni, beliau berkata, penganjurannya adalah tepat pada waktunya yang dapat membangkitkan kesedaran masyarakat akan hakikat kepentingan asas keamanan dan perpaduan dalam proses pembinaan negara.

"Di saat sesetengah pihak cuba memberikan lakaran buruk kepada agama Islam dan umat Islam, negara Malaysia perlu terlebih dahulu tampil menyerlahkan keindahan serta kesyumulan Islam.

"Golongan pendidik perlu menjadi ejen penggerak keharmonian dalam masyarakat, bukan sebaliknya," katanya.