Biarkan pakaian di ampaian waktu senja undang gangguan?

KADANGKALA bukan disengajakan membiarkan pakaian di ampaian pada waktu senja kerana masih dalam perjalanan balik dari tempat kerja. -Gambar hiasan
KADANGKALA bukan disengajakan membiarkan pakaian di ampaian pada waktu senja kerana masih dalam perjalanan balik dari tempat kerja. -Gambar hiasan
A
A
A

ADAKALANYA pakaian yang disidai di ampaian terbiar hingga waktu senja. Perbuatan itu bukan disengajakan kerana belum pulang dari tempat kerja.

Walaupun mungkin ramai yang sedar mereka tidak sempat pulang sebelum waktu berkenaan, tetapi masih sahaja menjemur pakaian di luar.

Itu sahajalah pilihan yang ada jika enggan menyidainya di dalam rumah. Ini kerana ada yang kurang gemar jika baju berbau kepam kerana dikeringkan di dalam kediaman.

Bagaimanapun, orang tua-tua dahulu sering berpesan supaya mengangkat jemuran di ampaian sebelum Maghrib atau senja. Jika dibiarkan, kata mereka, ia akan mengundang ludah jin atau terkena gangguan.

Mengingatkan ‘amaran’ itu, tipulah kalau kita tidak bimbang, bukan? Sudah tentu pantang larang tersebut tersemat dalam ingatan hingga ke hari ini.

SEGELINTIR orang tidak suka mengeringkan pakaian di dalam rumah kerana bimbang bajunya berbau kepam.
SEGELINTIR orang tidak suka mengeringkan pakaian di dalam rumah kerana bimbang bajunya berbau kepam.

Benarkah pakaian yang berada di ampaian waktu senja akan diludah oleh jin? Apakah pandangan Islam tentangnya?

Artikel Berkaitan:

Sinar Islam merujuk kepada artikel Al-Kafi #1976 yang disiarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan baru-baru ini.

Pejabat mufti itu menjelaskan, pihaknya tidak menjumpai nas syarak yang menyebut ‘pantang’ sedemikian.

“Perkara ini boleh dikategorikan sebagai pantang larang orang tua-tua masyarakat Melayu.

“Rasionalnya adalah waktu senja merupakan waktu syaitan berkeliaran dan saat itu kita sebaiknya berada di dalam rumah agar tidak terkena sampuk,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel berkenaan.

Benar, larangan agar tidak bergelandangan waktu Maghrib mempunyai nas yang jelas.

Jabir RA meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Apabila kegelapan malam menjelma atau apabila sudah lewat petang, maka tahanlah anak-anak kamu. Ini kerana, pada waktu itu syaitan berkeliaran. Apabila telah berlalu beberapa ketika daripada malam. Biarkanlah mereka dan tutuplah pintu-pintu serta sebutlah nama ALLAH SWT kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, jelaslah bahawa perintah supaya menutup pintu-pintu pada malam hari terutama waktu saat tibanya senja ada asasnya dan ia merupakan sunnah.

TIADA nas syarak yang menyebut bahawa pakaian yang berada di ampaian pada waktu senja akan diludah oleh jin atau 'diganggu' makhluk berkenaan. -Gambar hiasan
TIADA nas syarak yang menyebut bahawa pakaian yang berada di ampaian pada waktu senja akan diludah oleh jin atau 'diganggu' makhluk berkenaan. -Gambar hiasan

“Bukan itu sahaja, ia juga bertujuan sebagai perlindungan kepada manusia daripada terkena kecelakaan atau keburukan syaitan dalam kalangan manusia dan jin.

“Andai berada di luar rumah pada waktu senja yang mana syaitan aktif berkeliaran, dikhuatiri kanak-kanak akan terkena gangguan makhluk itu.

“Mengertilah, detik tersebut adalah waktu kesukaan syaitan untuk menikmati kotoran dan kotoran itu kebiasaannya terdapat pada kanak-kanak,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!