Kempen #GengSubuhMacamJumaat diteruskan di tiga masjid

Mohd Na'im menyampaikan bantuan kepada penerima dalam program Misi Bantuan Pasca Banjir Agensi di Bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Dewan Kampung Sungai Telor, Kota Tinggi pada Ahad
Mohd Na'im menyampaikan bantuan kepada penerima dalam program Misi Bantuan Pasca Banjir Agensi di Bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Dewan Kampung Sungai Telor, Kota Tinggi pada Ahad
A
A
A

KOTA TINGGI - Tiga masjid utama di bawah pentadbiran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menggerakkan kempen #GengSubuhMacamJumaat yang dicetuskan selebriti, Alif Satar bermula 27 Januari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, kempen berkenaan diteruskan di Masjid Putra, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Negara.

"Kita akan gerak ke tiga buah masjid ini untuk menyokong sebab masjid yang saudara Alif buat pun di Bukit Damansara juga adalah masjid di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

"Insya-ALLAH akan berterusan dan akan bergerak ke masjid lain yang akan kita tentukan nanti. Kempen ini diteruskan di peringkat Persekutuan susulan kejayaan kempen ini yang dimulakan selebriti tersebut ditambah pula dengan kejayaan Program Semarak Subuh dianjurkan kerajaan Johor.

"Kita akan bekerjasama untuk kebaikan kepada sesiapa sahaja yang mengajak kepada kebaikan, sebab itu saya mengharapkan golongan muda dan belia macam Alif Satar dengan pangkat yang dia ada sebagai selebriti mampu membawa anak-anak muda ini (ke masjid)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Misi Bantuan Pasca Banjir Agensi di Bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Dewan Kampung Sungai Telor pada Ahad.

Mohd Na’im mengulas sama ada kejayaan menghimpunkan lebih 12,000 jemaah pada Program Semarak Subuh dan kempen #GengSubuhMacamJumaat di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn di Johor Bahru pada Sabtu akan diteruskan di peringkat Persekutuan.

Program Semarak Subuh yang merupakan inisiatif Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz mula dilaksanakan 5 Januari lalu dengan pelaksanaan di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri Johor dengan peruntukan berjumlah RM560,000 membabitkan 838 masjid dan 1,942 surau di seluruh Johor.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, kempen #GengSubuhMacamJumaat yang dimulakan Alif sejak Disember lalu juga mula menjadi ikutan ramai dan turut digerakkan pempengaruh lain di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, pihaknya akan menyokong dan mengekalkan tanda pagar #GengSubuhMacamJumaat untuk kempen seterusnya.

"Kita akan berikan sokongan kepada beliau (Alif) sama juga dengan Menteri Besar Johor (Onn Hafiz) dan (Exco Hal Ehwal Agama Johor) Mohd Fared Mohd Khalid serta menyokong usaha-usaha ini di peringkat negeri serta sudah tentu di peringkat persekutuan JAKIM," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan mengagihkan bantuan sebanyak RM1.54 juta dalam misi pasca banjir menerusi program selama dua hari di negeri ini.