Jualan Gudang Karangkraf 2024 kembali lagi!

Anis Syamila (Jualan Gudang Karangkraf yang pertama kembali lagi untuk tahun ini)
Anis Syamila (Jualan Gudang Karangkraf yang pertama kembali lagi untuk tahun ini)
A
A
A

SHAH ALAM - Jualan Gudang Karangkraf yang pertama untuk 2024 bakal menemui penggemar buku, novel dan al-Quran terbitan Karya Bestari bermula 25 Januari hingga 4 Februari tidak lama lagi.

Ketua Jabatan Pemasaran Grup Buku Karangkraf (Karangkraf), Anis Syamila Abdul Halim berkata, tema yang diangkat pada kali ini adalah #RoadToRamadan di mana pihaknya membuat jualan al-Quran terbesar di Malaysia.

Menurutnya, inisiatif berkenaan dilaksanakan bagi menggalakkan para pengunjung mendapatkan al-Quran baharu dengan tawaran harga yang menarik.

“Selain menawarkan diskaun buku sehingga 80 peratus, kita juga ada buat aktiviti hujung minggu seperti pertandingan mewarna, kraftiviti DIY ‘bookmark’, teka silang kata Ramadan dan lain-lain.

“Bagi pelajar yang datang ke Jualan Gudang Karangkraf dengan berpakaian uniform sekolah turut berpeluang menerima buku nota secara percuma.

“Begitu juga bagi mereka yang memakai pakaian berwarna kuning pada hujung minggu atau cuti umum, akan dapat manisan ‘marshmallow’ percuma,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Jualan Gudang Karangkraf tahun lalu menampilkan pelbagai jenis bahan bacaan pada diskaun sehingga 80 peratus dan pengunjung bertuah berpeluang memenangi lebih RM1,000 serta hadiah-hadiah menarik menerusi peraduan 'Beli & Menang'.

Anis Syamila turut memaklumkan, keistimewaan pada kali ini adalah pengunjung bukan sahaja boleh membeli belah, bahkan berpotensi untuk memenangi cabutan bertuah menarik yang bernilai sehingga RM1,500.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, pihaknya juga menganjurkan tiga pertandingan menerusi Pentas Khalifah seperti Pertandingan Hafazan, Pertandingan Azan dan Pertandingan Bercerita Sirah Nabi dengan memfokuskan pelajar sekolah rendah.

“Jadi, orang ramai dijemput hadir memeriahkan acara sulung untuk tahun ini di Kompleks Kumpulan Karangkraf dan berjumpa sendiri dengan 10 penulis hebat yang akan bersama kami.

“Antaranya ialah Aini Bakar (Koyak); Normaliza Mahadi (Sebelum Berdua); Fazrul Ismail dan Ustaz Tirmizi Ali (Yang Bertakwa Pasti Berjaya); Elly Jalil (Rezeki Detik Terakhir); Nadhrah Husna (Duhai Pemilik Hati) serta ramai lagi.

“Dari Jualan Gudang tahun sebelumnya sehingga tahun ini, kami ada 22 tajuk baharu yang pengunjung boleh beli,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!